
PETALING JAYA: Seorang pengerusi jawatankuasa perumahan sebuah badan berkanun di Johor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai menyalahgunakan kuasa dengan meminta wang kira-kira RM4,000 dalam urusan permohonan lot tapak perumahan.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 7.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor.
Sumber memaklumkan, suspek disyaki terlibat meminta dan menerima rasuah serta menyalahgunakan kuasa dengan memperdaya pemohon tanah kerajaan dengan meminta wang setiap seorang daripada 400 pemohon lot tapak rumah membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM1.6 juta
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan kesemua perbuatan tersebut antara tahun 2016 hingga 2025.
“Suspek menyeleweng wang tersebut untuk kegunaan sendiri melalui pengeluaran daripada akaun bank jawatankuasa terbabit menggunakan invois palsu,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Hairuzam Mohmad Amin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A), Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, suspek akan dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya direkodkan. – UTUSAN
The post Pengerusi perumahan di Johor disyaki terima rasuah RM1.6 juta appeared first on Utusan Malaysia.





