Pengesahan MyKad diyakini bendung warga asing beli RON95 bersubsidi, kata CGS International

24/09/2025 - 11:28
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 24 Sept - Pengenalan proses pengesahan MyKad bagi pembelian RON95 bersubsidi pada harga RM1.99 seliter diyakini dapat membendung pembelian daripada warga asing atau pihak yang tidak berkelayakan, kata CGS International.
Katanya, kerajaan turut memaklumkan bahawa analitik di bahagian belakang sistem akan digunakan bagi mengenal pasti dan menyekat individu yang didapati kerap membeli RON95 bersubsidi secara mencurigakan.
"Langkah baharu ini dilihat berpotensi mengurangkan pembelian tidak sah serta menekan jumlah jualan RON95 secara keseluruhan," katanya dalam satu nota kajian.
"Bagaimanapun, bagi PETRONAS Dagangan Berhad pengendali stesen minyak Petronas, tekanan ini boleh memberi kesan kepada unjuran volum jualan selepas mengalami penurunan tahun ke tahun dalam dua suku pertama 2025 ekoran tindakan kerajaan membanteras penyalahgunaan diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, kerajaan pada 22 September lalu mengumumkan semua warganegara Malaysia berusia 16 tahun ke atas dengan lesen memandu sah layak membeli sehingga 300 liter sebulan petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter bermula 30 September 2025.
Kuota itu ditetapkan tanpa mengira paras pendapatan, dengan penggunaan melebihi had 300 liter sebulan akan dikenakan harga pasaran, yang kini dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
Katanya, kenderaan berdaftar asing pula hanya dibenarkan mengisi petrol RON97 yang lebih mahal.
Katanya, bagi memastikan kawalan yang lebih ketat, pengguna perlu mengemukakan MyKad di stesen minyak atau mengesahkan identiti melalui aplikasi mudah alih tertentu sebelum melayakkan mereka kepada harga subsidi manakala emandu e-hailing dikecualikan daripada had ini dan boleh memohon peruntukan tambahan.
CGS International berkata, kuota 300 liter sebulan sebagai “sangat murah hati” kerana majoriti rakyat Malaysia tidak dijangka menggunakan jumlah sebanyak itu.
"Kami mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran RM16.74 sesaham sambil menegaskan unjuran jumlah jualan mendatar bagi tempoh 2025–2027 kini berdepan risiko akibat langkah baharu kerajaan tersebut," katanya.
- DagangNews.com
standard



