
PATTANI – Sebuah video lama yang kembali tular di media sosial mencuri perhatian netizen selepas memaparkan suasana graduasi yang cukup meriah di sebuah sekolah di selatan Thailand.
Rakaman tersebut melibatkan pelajar dari Sekolah Satit Universiti Prince of Songkla (PSU) di Pattani, Thailand Selatan. Sekolah berkenaan merupakan institusi pendidikan di bawah Universiti Prince of Songkla yang terkenal sebagai antara sekolah makmal universiti di negara itu.
Menerusi video yang dikongsikan semula di pelbagai platform media sosial, setiap pelajar dilihat diberikan kebebasan untuk naik ke pentas dan menerima sijil mengikut gaya serta personaliti masing-masing.
Ada yang tampil dengan aksi lucu, gaya popular di media sosial dan pelbagai ekspresi kreatif yang berjaya menceriakan suasana dewan.
Namun, apa yang paling menarik perhatian ramai ialah sikap pengetua sekolah tersebut yang dilihat begitu sporting apabila turut melayan setiap gaya pelajar yang hadir ke pentas.
Dalam beberapa rakaman yang tular, pengetua berkenaan dilihat menyesuaikan reaksi serta gaya mengikut pelajar yang menerima sijil, sekali gus menjadikan momen tersebut lebih santai dan menghiburkan.
Pernah Tular Tahun Lalu
Menurut laporan media Thailand, video tersebut sebenarnya pernah mencuri perhatian ramai sekitar tahun lalu sebelum kembali dikongsikan oleh pengguna media sosial baru-baru ini.
Pendekatan yang lebih santai itu turut dipuji ramai kerana dianggap berjaya mewujudkan kenangan bermakna antara guru dan pelajar pada hari terakhir mereka di sekolah.
Ramai netizen berpendapat majlis graduasi tidak semestinya perlu berlangsung dalam suasana terlalu formal, sebaliknya boleh menjadi platform untuk meraikan pencapaian pelajar dengan cara yang lebih dekat dengan generasi muda masa kini.
Untuk rekod, video-video suasana penyampaian sijil graduasi tersebut turut dimuat naik melalui saluran rasmi sekolah dan menerima perhatian tinggi daripada pengguna internet dari pelbagai negara. – The Malaysian Update
Sokong TMU
Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.
Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.
The post Pengetua ‘Sporting’ Ikut Gaya Pelajar Ketika Graduasi, Majlis Sekolah Di Thailand Ini Kembali Tular appeared first on The Malaysian Update.

