Penggabungan Affin Bank dengan AmBank tidak mungkin berlaku, kata CIMB Securities

LocalBusiness & Finance
21 May 2025 • 3:24 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penggabungan Affin Bank dengan AmBank tidak mungkin berlaku, kata CIMB Securities

image is not available

21/05/2025 - 15:24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mei - CIMB Securities tidak yakin dengan sebarang kemungkinan Affin Bank Bhd dan AMMB Holdings Bhd (AmBank) bergabung dengan memberikan dua situasi yang sama sekali tidak berpihak kepada perkara itu.

Katanya, kedua-dua situasi itu memerlukan terbitan sejumlah besar saham baharu yang berpotensi mencairkan pegangan saham sedia ada.

Firma penyelidikan itu berkata, harga saham AmBank jatuh selepas berita mengenai penggabungan tersebar dan ia juga berkemungkinan disebabkan ketidaktentuan terhadap hala tuju strategik bank itu.

"Kami sama sekali tidak optimis terhadap penggabungan dalam mana-mana senario yang dibincangkan," katanya dalam satu nota kajian.

Terdahulu, The Edge Malaysia, dalam edisi 14 April, melaporkan kerajaan negeri Sarawak sedang mencari untuk membeli kepentingan dalam AmBank sebagai sebahagian daripada rancangan penggabungan dengan Affin, memetik sumber.

Sarawak akan memegang tidak lebih daripada 20% kepentingan dalam kumpulan perbankan yang digabungkan itu, yang akan menjadi yang keempat terbesar di negara ini mengikut aset, salah satu sumber dipetik sebagai berkata.

“Sarawak sangat berminat untuk mengawal sebuah bank yang lebih besar,” sumber dilaporkan berkata.

Kerajaan Sarawak dikatakan telah mendekati Tan Sri Azman Hashim, yang memegang 11.8% kepentingan dalam AmBank melalui Amcorp Group Bhd, namun rundingan tersebut tidak menunjukkan kemajuan.

Dalam senario pertama, CIMB Securities menyatakan Affin Bank perlu menerbitkan 7.72 juta saham baharu untuk mengambil alih sepenuhnya AmBank yang akan mengurangkan pegangan kerajaan Sarawak dan menjadikan Amcorp Group sebagai pemegang saham terbesar.

Dalam situasi kedua, jika AmBank mengambil alih Affin, ia akan meningkatkan jumlah saham AmBank sebanyak 63.8%, yang akan menyebabkan harga sasarannya menurun.

Pegangan kerajaan Sarawak juga akan mengecil, tetapi menjadikannya pemegang saham terbesar. Jika AmBank membeli Affin pada harga yang rendah, harga sasarannya mungkin meningkat, namun CIMB Securities menyatakan, harga tersebut mungkin tidak menarik bagi pemegang saham minoriti Affin. - DagangNews.com

featured standard