Prospek Ranhill diramal positif didorong peningkatan permintaan air daripada pusat data, kata penganalisis

LocalBusiness & Finance
21 May 2025 • 10:47 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prospek Ranhill diramal positif didorong peningkatan permintaan air daripada pusat data, kata penganalisis

image is not available

21/05/2025 - 10:47

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mei - Prospek jangka panjang Ranhill Utilities Bhd diramal positif didorong peningkatan permintaan air hasil perkembangan pusat data di Johor serta reformasi peraturan yang sedang dilaksanakan, kata penganalisis.

RHB Research berkata ia menjangkakan permintaan industri yang berterusan akan menyokong keuntungan Ranhill, terutamanya apabila Johor menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor pusat data dan pembuatan, termasuk projek yang berkaitan dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

"Kami percaya permintaan yang didorong oleh pusat data akan menyokong keuntungan jangka panjang syarikat, dengan kemungkinan satu lagi pusingan kenaikan tarif air tahun ini,” menurut firma penyelidikan itu.

RHB Research mengekalkan saranan “beli” terhadap Ranhill dengan harga sasaran RM1.37, berdasarkan pertumbuhan permintaan air yang kukuh, jangkaan kategori tarif pusat data baharu dan pelaksanaan program nasional air tidak berhasil yang akan datang.



TA Securities turut melihat potensi pertumbuhan positif untuk kumpulan itu.

“Johor dijangka mendapat manfaat daripada kemasukan infrastruktur pusat data, sebahagiannya disebabkan oleh permintaan limpahan dari Singapura,” katanya.

Dalam satu pertemuan baru-baru ini dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), didedahkan bahawa pusat data di Johor kini memerlukan sehingga 368 juta liter air setiap hari.

Jumlah ini dijangka meningkat kepada 586 juta liter menjelang 2030.

TA Securities berkata, kapasiti rawatan air di Johor dijangka mengalami pengembangan ketara sebanyak 673 juta liter sehari antara tahun ini hingga 2030, yang berpotensi mengurangkan kekangan bekalan.

Katanya, Ranhill mungkin mendapat manfaat daripada penglibatan dalam inisiatif tenaga boleh diperbaharui (RE).

“Ranhill sedang berusaha untuk mengambil bahagian dalam skim pembekalan RE korporat yang diperkenalkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air," katanya.

Firma penyelidikan itu telah menaikkan harga sasaran saham Ranhill kepada RM1.40 daripada RM1.05 dan menaik taraf penarafannya kepada “beli,” dengan merujuk kepada persekitaran kawal selia yang lebih positif dan pengurangan premium risiko bagi operasi air syarikat. - DagangNews.com

standard