Penggodam dikaitkan dengan Iran didakwa ‘serang’ loji janakuasa UK

WorldTechnology
23 Aug 2026 • 10:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Penggodam dikaitkan dengan Iran didakwa ‘serang’ loji janakuasa UK

LONDON: Penggodam yang dikaitkan dengan Iran didakwa melakukan serangan siber terhadap sebuah loji janakuasa di Britain sehingga menyebabkan operasi kemudahan itu dihentikan sementara.

Menurut kerajaan Britain, serangan itu melibatkan sebuah penjana tenaga berskala kecil dan tidak menimbulkan sebarang risiko terhadap sistem tenaga negara secara keseluruhan.

Loji berkenaan ditutup selama empat hari akibat serangan yang berlaku bulan lalu, lapor Sunday Telegraph yang pertama kali mendedahkan kejadian itu.

Jurucakap Jabatan Keselamatan Tenaga dan Sifar Bersih Britain berkata, negara itu mempunyai sistem tenaga yang sangat berdaya tahan dan kerajaan bekerjasama rapat dengan sektor tenaga bagi melindungi infrastruktur serta memastikan tahap keselamatan tertinggi.

Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSC) yang bertanggungjawab menangani serangan terhadap infrastruktur kritikal, difahamkan tidak menerima sebarang laporan gangguan daripada pengendali loji janakuasa yang dikawal selia.

Bagaimanapun, kejadian itu dilihat sebagai peningkatan ancaman yang dikaitkan dengan Iran, susulan keputusan Britain membenarkan Amerika Syarikat (AS) melancarkan operasi pertahanan terhadap Teheran dari pangkalan tentera AS di Britain.

Menurut amaran NCSC pada tahun ini, negara seperti Russia, China dan Iran semakin menyasarkan sistem yang menyokong perkhidmatan penting Britain.

Bulan lalu, kerajaan Britain berkata, negara itu bersedia mempertahankan diri selepas tentera Iran memberi amaran mana-mana pangkalan yang digunakan AS merupakan sasaran sah.

Britain membenarkan AS melancarkan operasi yang disifatkan sebagai pertahanan dari pangkalan tentera Britain yang menempatkan pesawat AS sejak bermulanya perang dengan Iran, namun enggan membantu dalam operasi serangan.

Dasar itu tidak berubah di bawah Perdana Menteri baharu, Andy Burnham yang dimaklumkan minggu lalu keputusan telah dibuat untuk melanjutkan perjanjian berkenaan dengan AS.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada bulan lalu berkata, mana-mana pangkalan yang digunakan untuk melakukan pencerobohan terhadap wilayah Iran merupakan sasaran sah bagi pasukannya.

Iran telah lama dituduh melakukan serangan siber terhadap beberapa negara, termasuk serangan yang dikaitkan dengan gangguan bekalan elektrik besar-besaran di Turkiye pada 2015 serta beberapa kemungkinan pencerobohan terhadap laman web kerajaan Israel pada 2022.

Agensi keselamatan kerajaan AS turut mengeluarkan amaran awal tahun ini mengenai ancaman serangan siber terhadap infrastruktur kritikal oleh penggodam yang mempunyai kaitan dengan IRGC.

AS mendakwa kumpulan yang mempunyai hubungan dengan Iran dikenali sebagai CyberAv3ngers melancarkan kempen serangan terhadap negara itu pada 2023 yang menjejaskan sekurang-kurangnya 75 peranti dalam beberapa sektor infrastruktur.

The post Penggodam dikaitkan dengan Iran didakwa ‘serang’ loji janakuasa UK appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved