Hadi sedia jawab di mahkamah 

LocalPolitics
23 Aug 2026 • 6:48 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hadi sedia jawab di mahkamah 

PETALING JAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak gentar berdepan tindakan undang-undang dan bersedia menjawab di mahkamah sekiranya didakwa berhubung siasatan polis terhadap sebuah artikel yang dipercayai diterbitkan menerusi kolum Minda Presiden Pas. 

Setiausaha Politiknya, Mohd. Syahir Sulaiman berkata, Abdul Hadi sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak polis bagi membantu siasatan berhubung laporan yang dibuat terhadap artikel berkenaan.

Katanya, Abdul Hadi bersedia mempertahankan pendiriannya melalui saluran undang-undang sekiranya siasatan polis berhubung artikel berkenaan membawa kepada pendakwaan di mahkamah. 

“Tuan Guru Hadi sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak polis bagi membantu siasatan berhubung laporan yang dibuat terhadap artikel berkenaan. 

“Beliau sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk membantu siasatan. Jika ada pertuduhan, beliau sedia menjawab di mahkamah,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Abdul Hadi sebelum ini dikatakan telah memberikan keterangan kepada pihak polis di Kuala Lumpur pada minggu lalu bagi membantu siasatan berhubung artikel beliau diterbit dalam Facebook.

Mohd. Syahir bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus artikel yang dimaksudkan, namun dipercayai ia salah satu tulisan Hadi yang diterbitkan di bawah kolum Minda Presiden Pas. 

Mengulas lanjut, katanya, sebelum ini terdapat beberapa laporan polis telah dibuat oleh penyokong DAP berhubung salah satu artikel yang diterbitkan Ahli Parlimen Marang itu.

Tambahnya, telefon bimbit milik pentadbir akaun Facebook Abdul Hadi turut diambil pihak polis bagi membantu siasatan.

“Artikel yang dimaksudkan tidak didedahkan buat masa ini kerana kita menghormati proses siasatan pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, jasa dan peranan Pas pada Raya Negeri (PRN) Johor serta Negeri Sembilan perlu diambil kira dalam memuktamadkan kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di masa akan datang.

Beliau justeru itu melihat kejayaan BN dan PN pada PRN Negeri Sembilan yang peroleh majoriti dua pertiga dilihat mampu diteruskan pada PRN Melaka nanti.

Katanya, rundingan kerjasama dalam menghadapi PRN Melaka masih berjalan dan dijangka akan dapat diputuskan tidak lama lagi.

“Semua kena ambil kira, semua kena ambil kira. Kedudukan dengan BN kita kena ambil kira. Ada peranan masing-masing,” katanya pada Konvesyan Pas Johor di Dewan Muafakat Ayer Hitam semalam.-UTUSAN

The post Hadi sedia jawab di mahkamah  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved