Penggubalan berkaitan AUKU secara inklusif

LocalPolitics
8 Oct 2026 • 2:49 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penggubalan berkaitan AUKU secara inklusif

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan jaminan bahawa proses penggubalan kerangka undang-undang baharu pendidikan tinggi bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), dilaksanakan secara inklusif tanpa membezakan kecenderungan politik kumpulan mahasiswa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kementeriannya komited melibatkan semua pihak dalam sesi libat urus, merangkumi pelbagai persatuan pelajar, akademik mahupun kepimpinan rentas parti politik.

Beliau berkata, KPT turut mengadakan sesi pertemuan khusus dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) bagi mendengar serta menyelaraskan pelbagai syor cadangan.

“Sama ada mereka menyokong atau tidak menyokong kerajaan, termasuklah kumpulan pelajar yang mewakili parti yang berada dalam barisan mahasiswa, kita libatkan semua.

“Kita ingin mewujudkan sebuah akta baharu yang benar-benar komprehensif dengan mendengar segala pandangan, maka kita bawa, selaras dan rumuskan dengan sebaik-baiknya untuk merancang masa depan pendidikan tinggi negara,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) tentang senarai kumpulan pihak berkepentingan yang dilibatkan serta jaminan kebebasan mahasiswa yang mengkritik kerajaan di bawah kerangka undang-undang baharu itu.

Mengulas mengenai jaminan kebebasan bersuara, Zambry berkata KPT telah mengambil langkah serta-merta membekukan kesemua prosiding tatatertib berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan dan perhimpunan aman di semua universiti awam.

Beliau berkata kerajaan juga sedang menyelaraskan pelbagai peraturan tatatertib pada peringkat universiti bagi mengelakkan amalan dwistandard atau kekangan yang berbeza-beza antara kampus.

“Kita ambil kira seluruh aspek dari segi penyelarasan ini supaya hal-hal sedemikian tidak berlaku dan sekiranya wujud perkara serius, perkara itu akan tertakluk terus kepada perundangan negara dan bukan lagi kekangan peraturan dalaman yang menyekat kebebasan mahasiswa,” katanya.

Menjawab soalan asal V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) yang ingin tahu perkembangan terkini undang-undang baharu itu, Zambry berkata penggantian AUKU akan dibuat menerusi pembentukan Akta Satu Pendidikan Tinggi yang turut menyelaraskan akta-akta berkaitan seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000. – Bernama

The post Penggubalan berkaitan AUKU secara inklusif appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved