SHAH ALAM- [DIKEMAS KINI] Usaha menyediakan pendidikan percuma secara berperingkat sudah mula dilaksanakan termasuk melalui pelupusan hutang masa depan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi 10,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, langkah berkenaan merupakan antara usaha kerajaan yang dimulakan dengan membantu kelompok paling memerlukan.
"Waalaikumussalam. Selamat pagi Behar, Azhar Sulaiman. Saya ucap terima kasih Behar selalu beri perhatian terhadap agenda pendidikan tinggi dan kepentingan anak-anak kita.
"Untuk tahun ini sahaja, bentuk pendidikan percuma yang kita inginkan sebenarnya sudah mula dilaksanakan secara berperingkat.
"Kita mulakan dengan melupuskan hutang masa depan PTPTN bagi 10,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah berdasarkan garis kemiskinan. Pada masa yang sama, yuran pengajian bagi pelajar orang kurang upaya (OKU) di Institut Pengajian Tinggi (IPTA) juga kini dikecualikan," katanya ketika menjawab pertanyaan pelakon itu menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Azhar Sulaiman sebelum ini mendakwa rakyat Malaysia sudah puas melihat pelbagai kes kleptokrasi, rampasan wang dan harta benda yang sita oleh kerajaan terhadap bekas-bekas pemimpin kerajaan selain dakwanya pemimpin dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh bersenang-senang.
Sehubungan itu, beliau ingin 'demand' kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menangani isu PTPTN sebelum akhir tahun ini dan berpeluang untuk terus berkhidmat bagi penggal seterusnya.
Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, terdapat beberapa langkah lain telah dibincangkan secara panjang lebar, mungkin belum sampai ke tahap yang diharapkan sepenuhnya dan bukan semuanya dapat dilaksanakan serta-merta.
Bagaimanapun katanya, secara ringkas kerajaan sudah bermula dengan kelompok yang paling memerlukan, beban hutang masa hadapan mereka diselesaikan.
"Mereka boleh meneruskan dan menamatkan pengajian tanpa menanggung hutang baharu, sekali gus menghapuskan risiko pinjaman tersebut menjadi tunggakan atau NPL pada masa hadapan.
"Langkah ini bukan hanya untuk pelajar baharu, sebaliknya turut melibatkan mereka yang sudah berada dalam sistem dan sedang mengikuti pengajian.
“Berpuas hati? Tidak. Sudah tentu tidak sempurna. Malah, tidak ada istilah ‘dasar yang sempurna’ kerana setiap dasar sentiasa memerlukan penambahbaikan secara berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya berharap usaha yang dilaksanakan dapat menunjukkan perkembangan ke arah yang lebih baik menerusi beberapa dasar baharu kementerian.
"Yang penting sekarang ialah memastikan langkah ini benar-benar berjalan, kemudian terus berusaha supaya ruang pendidikan tanpa beban hutang ini dapat diperluaskan kepada lebih ramai,” katanya.






