
KUALA LUMPUR: Tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap mahasiswa sebelum ini akan digugurkan sementara proses pindaan undang-undang dan penggubalan akta baharu berkaitan pendidikan tinggi diteruskan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, namun tindakan itu tidak terpakai kepada perkara serius yang tertakluk kepada perundangan negara.
Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan kekangan terhadap kebebasan mahasiswa dapat dileraikan, selain menyelaraskan pelbagai peraturan universiti yang dilihat saling bercanggah antara satu sama lain.
“Seluruh aspek itu KPT ambil kira dan di peringkat pimpinan universiti, mereka juga perlu melakukan penyelarasan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta menteri menjelaskan tentang jaminan berhubung kebebasan mahasiswa mengkritik tanpa dikenakan tindakan menerusi akta baharu yang akan digubal bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
Sebelum ini, kerajaan mengarahkan pihak universiti dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) melepaskan serta-merta tindakan disiplin terhadap mahasiswa yang dikenakan hukuman semata-mata kerana menyuarakan pandangan atau kritikan terhadap pimpinan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, universiti wajib kekal sebagai medan wacana bebas dan pemikiran kritis tanpa terus disekat peraturan lapuk era 1970-an.
Mengulas lanjut, Zambry turut berkata, pemansuhan AUKU perlu dilaksanakan secara terancang bagi memastikan tidak berlaku sebarang kelompangan perundangan yang boleh menjejaskan tadbir urus universiti awam.
“Pada peringkat ini, langkah awal ialah untuk mengubah peruntukan-peruntukan yang menjadi penghalang kepada kebebasan mahasiswa.
“Dalam masa yang sama, KPT juga sedang merangka penyatuan perundangan berkaitan pengajian tinggi bagi mewujudkan satu akta tunggal yang dikenali sebagai One Higher Education Act.
“Penggubalan akta baharu itu bakal merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi negara serta institusi di bawahnya bagi tempoh jangka panjang sehingga 30 tahun akan datang.
“Ia selari dengan perkembangan pesat sektor pendidikan tinggi, termasuk keperluan mengangkat semula kedudukan dan peranan politeknik serta program prauniversiti,” katanya. – UTUSAN
The post Tindakan tatatertib terhadap mahasiswa sebelum ini digugurkan appeared first on Utusan Malaysia.






