Pengguna Boleh Memilih Untuk Menggunakan Microsoft Recall Atau Tidak Apabila Ia Kembali

TechnologyDigital
30 Sep 2024 • 12:41 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Microsoft telah memperkenalkan ciri Microsoft Recall, iaitu sebuah ciri AI dimana pengguna boleh mencari sebarang maklumat yang telah dicari pada komputer mereka sebelum ini. Secara ringkasnya, sistem operasi akan mengambil satu tangkapan layar untuk setiap input yang dibuat. Dengan tangkapan-tangkapan layar ini, teknologi AI digunakan untuk mencari kembali apakah kandungan yang dicari oleh pengguna sebelum ini.

Akan tetapi, Microsoft telah menarik balik ciri ini untuk seketika kerana banyak keraguan mengenai keselamatan teknologi ini, khususnya apabila ia ditemui bahawa tangkapan layar yang diambil tidak disulitkan, dan kecurian data mungkin berlaku. Ciri ini juga pada awalnya tidak boleh dipadam atau ditutup.

Microsoft kini dilaporkan akan memperkenalkan kembali ciri Recall untuk pengguna sistem operasi Windows 11 tidak lama lagi dan telah mengatakan bahawa kali ini, ia akan hadir dengan ciri yang boleh dipilih samada pengguna mahu menggunakannya ataupun tidak.

image is not available

Dalam satu kemaskini akan datang, Recall akan diperkenalkan semula, dan kali ini, ciri tersebut akan dinyahaktifkan terlebih dahulu, dan pengguna boleh memilih untuk mengaktifkannya atau tidak di kemudian hari.

Malah, untuk isu tangkapan layar yang diambil, Microsoft kini juga mengesahkan bahawa ia akan disulitkan menggunakan teknologi Trusted Platform Module dan hanya boleh diakses melalui akaun pengguna tersebut.

Untuk menyulitkan lagi data ini, ia hanya boleh diakses melalui satu operasi yang dinamakan VBS Enclave (Virtualization-based Security Enclave), dan data yang melepasi proses ini hanyalah data yang diminta pengguna. Ini bermakna bahawa tangkapan layar lain tidak boleh diakses oleh sesiapa pun.

Microsoft juga mengesahkan bahawa data tangkapan layar ini hanya akan disimpan pada komputer dan tidak akan dimuat-naik ke mesin pelayan Microsoft ataupun mana-mana syarikat lain. Dalam pada itu, pengguna juga boleh memilih data apa yang boleh disimpan oleh Recall.

Mereka dilihat masih lagi sedang menguji ciri Recall ini dan mahu memastikan bahawa ia benar-benar selamat digunakan sebelum ia dilancarkan semula untuk pengguna. Setakat ini, ia merupakan salah satu daripada ciri-ciri AI utama yang mahu diketengahkan oleh Microsoft kepada para pengguna AI PC yang sering diperkatakan oleh mereka.

Buat masa ini ia masih tidak diketahui lagi bilakah mereka akan memperkenalkan Recall kepada pengguna-pengguna sistem operasi Windows 11.