
KUALA LUMPUR – Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin memperoleh ganti rugi RM250,000 selepas Mahkamah Tinggi di sini mendapati seorang pengguna Facebook membuat hantaran yang memfitnahnya.
Hantaran fitnah itu didakwa mengaitkan Mohd. Asri yang juga dikenali sebagai Dr. Maza dan GISBH Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
Pesuruhjaya Kehakiman, Rihaida Rafie membuat keputusan itu selepas membenarkan sebahagian tuntutan saman fitnah yang difailkan Mohd. Asri yang difailkan terhadap defendan, Mohd. Nawawi Abdul Razak, 39.
Dalam penghakimannya, Rihaida berkata, plaintif berjaya membuktikan dua elemen asas tindakan fitnah iaitu pernyataan berkenaan merujuk kepada Mohd. Asri dan telah diterbitkan kepada pihak ketiga.
“Mahkamah berpuas hati bahawa pernyataan fitnah pertama memenuhi elemen-elemen fitnah setelah mendapati pernyataan fitnah pertama tersebut memenuhi elemen fitnah, mahkamah seterusnya meneliti pembelaan yang dibangkitkan oleh defendan.
“Setelah menimbangkan keseluruhan keterangan pembelaan, mahkamah mendapati defendan gagal membuktikan pembelaan sebagaimana yang telah diplidkan,” katanya.
Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan berhubung pernyataan fitnah kedua hingga keempat selepas mendapati ia tidak berjaya dibuktikan serta gagal memenuhi elemen tort fitnah.
Mahkamah turut membenarkan permohonan plaintif supaya defendan membuat permohonan maaf melalui akaun sama yang digunakan untuk menyiarkan pernyataan fitnah berkenaan selama tujuh hari bermula tarikh penghakiman.
Selain itu, defendan juga diperintah untuk memadamkan hantaran berkenaan daripada akaun Facebook tersebut serta dihalang daripada menerbitkan semula pernyataan fitnah itu melalui akaun yang sama atau pihak ketiga yang lain.
Prosiding hari ini dihadiri peguam Faizal Rahman dan Fatima Zulaikha Ahmad Bashri bagi pihak Mohd. Asri manakala Mohd. Nawawi diwakili peguam Mohd Tajuddin Abd Razak.
Pada 10 Oktober 2024, Mohd. Asri memfailkan saman terhadap pemilik akaun Facebook itu dengan menuntut ganti rugi RM10 juta kerana memfitnahn yang mempunyai kaitan dengan GISBH.
Ia berhubung kenyataan fitnah yang dikeluarkan pada 20 September tahun sama, dalam bentuk komen bergambar, dari satu hantaran media sosial milik individu lain yang didakwa merosakkan imejnya sebagai Mufti Perlis. – KOSMO! ONLINE
The post Pengguna FB fitnah Mufti Perlis diperintah bayar RM250,000 appeared first on Kosmo Digital.



