Pemandu kereta ke Genting Highlands kena bayar tol RM5 bagi setiap kemasukan mulai 28 Mei 2026

26 May 2026 • 2:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pemandu kereta ke Genting Highlands kena bayar tol RM5 bagi setiap kemasukan mulai 28 Mei 2026 Image from: Pemandu kereta ke Genting Highlands kena bayar tol RM5 bagi setiap kemasukan mulai 28 Mei 2026 amree26/05/2026 - 14:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Mei — Pengguna jalan raya ke Genting Highlands akan mula dikenakan tol atau caj laluan mulai 28 Mei 2026 susulan pelaksanaan struktur fi baharu oleh Lingkaran Cekap Sdn Bhd (LCSB).

 

Pengendali sah Jalan Genting Highlands tersebut dalam kenyataan berkata, pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat melibatkan semua jenis kenderaan yang dibenarkan menggunakan laluan tersebut.


Jelasnya, bagi fasa pertama, kenderaan Kelas 1 yang merangkumi kereta dan van akan dikenakan bayaran sebanyak RM5 bagi setiap kemasukan sama ada melalui Genting Sempah atau Gohtong Jaya.


"Kenderaan komersial pula dikenakan kadar yang berbeza iaitu RM15 bagi lori jenis sederhana, manakala caj RM25 bagi lori berat, RM3.30 untuk teksi dan RM5 pula kepada bas," tambah LCSB lagi.


Menurut operator itu, kenderaan dalam Kelas 2 hingga Kelas 5 diwajibkan menggunakan lorong khas atau sistem pengecaman nombor plat pendaftaran kenderaan (LPR) untuk memasuki kawasan tersebut.


Bagaimanapun ujarnya, beberapa kategori pengguna masih lagi diberikan pengecualian penuh termasuk pelbagai kenderaan kecemasan dan motosikal yang tidak memerlukan sebarang pendaftaran kemasukan.

 

Penduduk Layak Menikmati Kadar Caj 10% Lebih Rendah

Turut dikecualikan ialah kenderaan persendirian milik penjawat awam yang bertugas di institusi kerajaan terpilih, tertakluk kepada pendaftaran serta penggunaan lorong LPR atau lorong khas.


"Bermula 28 Jun 2026, LCSB akan membuka pendaftaran kepada penduduk tetap Genting Highlands bagi sehingga dua buah kenderaan Kelas 1 untuk menikmati kadar istimewa atau pas bermusim," katanya.


Penduduk yang layak itu pula jelasnya, akan menikmati kadar caj 10% lebih rendah berbanding kadar biasa bagi setiap kemasukan apabila mereka menggunakan lorong LPR atau lorong khas ditetapkan.


Selain itu, syarikat turut memperkenalkan skim pas bermusim selama enam bulan yang membolehkan pemegang menikmati kemasukan tanpa had ke Genting Highlands sepanjang tempoh sah pas berkenaan.

 

 

 

 

 



Menurut LCSB lagi, inisiatif tersebut bertujuan memberikan kemudahan lebih baik serta penjimatan kos secara signifikan kepada penduduk tetap kawasan peranginan itu berbanding pengunjung luar.


"Permohonan pas bermusim boleh dilaksanakan melalui proses pendaftaran yang ditetapkan berserta bayaran berkaitan," kata kenyataan berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard