Pengguna OKU puji aksesibiliti LRT3, mahu kemudahan diperluas

20 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pengguna OKU puji aksesibiliti LRT3, mahu kemudahan diperluas

PETALING JAYA, 20 OGOS: Kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) yang disediakan di Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) mendapat pujian pengguna kerana memudahkan pergerakan, khususnya bagi mereka yang berkerusi roda.

Timbalan Presiden Persatuan OKU Sentral, Ahmad Daniel Sharani berkata kemudahan yang disediakan Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) amat mesra OKU dan memudahkan perjalanan golongan berkenaan sejak perkhidmatan LRT diperkenalkan.

“Prasarana sudah melakukan yang terbaik dalam menyediakan aksesibiliti untuk golongan OKU sejak Transit Aliran Ringan 1 (LRT1) beroperasi lagi.

“Selain itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga memainkan peranan penting dalam memudahkan perjalanan OKU ke destinasi yang dituju,” katanya kepada Media Selangor.

Image from: Pengguna OKU puji aksesibiliti LRT3, mahu kemudahan diperluas
Timbalan Presiden Persatuan OKU Sentral Ahmad Daniel Sharani mencuba kemudahan yang disediakan untuk golongan OKU ketika menaiki LRT3 di Stesen Damansara Idaman, Petaling Jaya pada 19 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, pengguna, Siti Sariah Abu berkata kemudahan mesra OKU yang disediakan di LRT3 memudahkan golongan berkenaan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam dengan lebih selesa.

“Fasiliti untuk golongan OKU dalam LRT3 ini sangat bagus kerana memudahkan pergerakan serta perjalanan mereka ke stesen.

“Bagaimanapun, kemudahan seperti ini perlu diperluas dan disebarluaskan lagi supaya lebih ramai golongan OKU mengetahui serta dapat memanfaatkannya,” katanya.

Laluan LRT3 yang menghubungkan Bandar Utama, Petaling Jaya dengan Johan Setia, Klang mula dibuka kepada orang ramai pada 29 Julai lalu, sehari selepas dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Image from: Pengguna OKU puji aksesibiliti LRT3, mahu kemudahan diperluas
Siti Sariah Abu memuji kemudahan mesra OKU yang disediakan di Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) ketika ditemui Media Selangor di Petaling Jaya pada 19 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sempena pembukaannya, Anwar mengumumkan tambang percuma selama sebulan kepada semua penumpang sehingga 31 Julai.

Bagaimanapun, Rapid KL kemudian melanjutkan tempoh perkhidmatan percuma itu sehingga 14 Ogos sebelum tambang dikenakan bermula 15 Ogos.

Laluan sepanjang 37.8 kilometer (km) itu merupakan rangkaian rel terbaharu yang memperluaskan akses pengangkutan awam kepada penduduk di koridor barat Lembah Klang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved