
GUA MUSANG: Rata-rata pengguna jalan raya di Gua Musang-Kuala Lipis, Pahang merungut dengan keadaan permukaan laluan utama itu yang berdebu dan berhabuk tanah susulan kerja-kerja pembinaan lebuh raya tanpa tol Kelantan-Pahang, Central Spine Road (CSR) sejak sebulan lepas, yang juga dilihat membahayakan.
Seorang pengguna Nur Adilah Zulkifli, 34, berkata kesan daripada jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik oleh pihak yang berkenaan, ia menyebabkan penglihatan persekitaran kawasan itu menjadi terhad, sekali gus mengundang bahaya kepada pengguna.
Beliau berkata pihak berkuasa seharusnya membuat pemantauan lebih baik terhadap aspek kerja di kawasan tapak projek itu kerana ada beberapa kawasan permukaan jalan telah jadi mendap serta berlubang, yang memberi kesan kepada kira-kira 5,000 penduduk sekitar kawasan berkenaan yang menggunakan jalan utama itu setiap hari.
“Kasihan kami penduduk dari Taman Wangi, Kesedar Jaya, Tanah Putih, Kampung Pulai, Chin Teck yang menggunakan jalan itu sebagai laluan utama setiap hari, malah apabila hujan jalan akan jadi berselut dan licin sekali gus membahayakan pengguna terutama penunggang motosikal,“ tambahnya.
Seorang lagi pengguna Mohd Asmadi Hassan, 56, pula berkata selain permukaan jalan raya, pengguna juga terpaksa lebih berhati-hati kerana sikap sambil lewa kontraktor dan pihak berwajib yang mengabaikan keselamatan pengguna semasa melaksanakan kerja-kerja mereka.
“Papan tanda peringatan amaran mengenai kerja-kerja pembinaan diletakkan pada jarak terlalu dekat, dan kadangkala mereka menutup salah satu dari dua laluan secara tiba-tiba tanpa ada kon peringatan sebelum melalui kawasan berkenaan.
“Kami berharap pihak berkenaan janganlah bersikap acuh tidak acuh tentang keselamatan pengguna jalan raya di sini dan perlu segera atasi maslaah yang dihadapi oleh kami ketika ini,“ katanya.
Sementara itu Pegawai Kawalan Alam Sekitar Kanan Gua Musang Zaharizam Johny mengesahkan pihaknya telah menerima aduan daripada pengguna jalan raya berkenaan mengenai permasalahan yang dihadapi di laluan berkenaan.
“Tindakan susulan akan diambil, ia masih dalam proses siasatan,“ katanya.-Bernama

![‘Pilot Darat’ Buat Hal, Cucuk Rapat Belakang Kereta Semasa Di Lorong Tengah Lebuh Raya [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/cars.jpeg)