Pengguna Samsung, Sila Aktifkan Ciri Anti-Kecurian Terkini Untuk Lindungi Data Peribadi

TechnologyDigital
26 Jun 2025 • 5:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Memandangkan kes kecurian telefon semakin menjadi-jadi di seluruh dunia, Samsung menyeru pengguna Galaxy untuk mengaktifkan ciri anti-kecurian terkini yang kini tersedia pada peranti mereka. 

Ciri terbaharu, One UI 7 adalah kemas kini keselamatan kepada ciri sedia ada, termasuk perlindungan kecurian tambahan dan ciri anti-kecurian (Anti-Robbery). 

Bermula dengan pelancaran siri Galaxy S25 pada Februari lalu, ia akan terus diperluaskan ke lebih banyak siri telefon pintar Galaxy untuk sepanjang tahun ini.

Salah satu kemas kini utama ialah Perlindungan Kecurian, satu set ciri berlapis yang dibangunkan untuk melindungi data peribadi, walaupun dalam situasi berisiko tinggi.

Perlindungan kecurian ini dibina di atas perlindungan standard Android, yang berkesan dalam senario kecurian biasa di mana pencuri tidak mengetahui PIN. 

Dengan One UI 7, Samsung turut memperkenalkan perlindungan tambahan iaitu dari kunci automatik jika dicuri hingga sekatan tetapan di lokasi mencurigakan.

Pengguna Galaxy kini boleh mengaktifkan pelbagai langkah keselamatan baharu, termasuk Pengesahan Identiti yang direka untuk menawarkan perlindungan lebih kukuh dalam senario kecurian yang kompleks. 

Ciri-ciri ini bertindak balas secara automatik dan pintar terhadap aktiviti mencurigakan, membantu memastikan data peribadi kekal selamat dan di bawah kawalan pengguna pada saat-saat kritikal.

Ciri sedia ada dan yang dikemas kini dalam Perlindungan Kecurian termasuklah:

1. Kunci Pengesanan Kecurian (Theft Detection Lock): ciri yang mengesan pergerakan berkaitan kecurian seperti diragut, dan peranti akan segera mengunci skrin untuk menghalang akses tanpa kebenaran.

2. Kunci Peranti Luar Talian (Offline Device Lock): Skrin akan dikunci secara automatik jika peranti terputus daripada rangkaian untuk tempoh yang lama, memastikan perlindungan walaupun peranti tidak mempunyai sambungan internet.

3. Kunci Kawalan Jauh (Remote Lock): Jika peranti telah dicuri, pengguna boleh menguncinya dari jauh menggunakan nombor telefon dan satu langkah pengesahan pantas. 

Ciri ini juga membolehkan pengguna mendapatkan semula kawalan akaun mereka dan meneroka pilihan pemulihan tambahan.

Berikut pula adalah ciri Anti-Kecurian baharu yang diperkenalkan dalam One UI 7:

1. Pengesahan Identiti (Identity Check): Di lokasi yang tidak dikenali, ciri Safe Places memerlukan pengesahan biometrik untuk sebarang perubahan kepada tetapan keselamatan sensitif, menambah lapisan perlindungan tambahan jika PIN telah dikompromi.

2. Penangguhan Keselamatan (Security Delay): Komponen utama pengesahan identiti, yang mengaktifkan tempoh menunggu selama satu jam jika seseorang cuba menetapkan semula data biometrik. 

Penangguhan penting ini memberikan masa kepada pengguna untuk mengunci telefon yang dicuri daripada peranti yang bersambung seperti PC atau tablet, sebelum akses tanpa kebenaran berlaku.

Ciri-ciri kecurian terkini ini kini sedang diperkenalkan pada peranti flagship terdahulu, bermula dengan siri Galaxy S24, Z Fold6, Z Flip6, Z Fold5, Z Flip5, serta siri S23 dan S22, dengan siri telefon pintar Galaxy yang lain. - Getaran, 26 Jun 2025

Foto : Samsung