![Penggunaan Bahasa Inggeris Dikritik: “Belum Ada ‘Orang Putih’ Komen English Saya” – Sanusi [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/Sanusia-respon-penggunaan-Bahasa-Inggeris-dalam-forum-SG4.jpg)
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, tular di media sosial ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sewaktu berucap di SG4 Business and Economic Forum 2026 pada Isnin (26 Oktober) lalu.
Apa yang menjadi perhatian adalah penyampaian ucapan Sanusi dalam forum tersebut yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.
Hantaran itu nyata mendapat perhatian pengguna media sosial sehingga ada di antara mereka yang mengkritik penggunaan Bahasa Inggeris Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu.
Sanusi Jelas Tak Pernah Berdepan Dengan Kritikan Dari Duta Asing Tentang Penggunaan Bahasa Inggeris
Mengulas respon orang ramai yang mengkritik penggunaan Bahasa Inggerisnya, Sanusi menyifatkan keberkesanan komunikasi tidak seharusnya diukur berdasarkan penggunaan tatabahasa semata-mata.
Sebaliknya, sejauh mana mesej yang mahu disampaikan itu difahami dan diterima oleh mereka yang mendengar.
Tambah Sanusi, dia sendiri tidak pernah berdepan dengan kritikan dari duta asing mengenai penggunaan Bahasa Inggerisnya itu.
Malah, mereka memahami maksud yang ingin disampaikan olehnya ketika berkomunikasi.
“Asalkan orang faham apa yang kita sampaikan, okeylah. Takkan lah teruk sangat saya cakap bahasa Inggeris.”
“Belum ada ‘orang putih’ komen English saya, yang komen semua Melayu. Saya cakap dengan duta luar negara, mereka hargai sebab sekurang-kurangnya saya cuba, mereka faham maksud yang saya sampaikan, itu lebih penting,” katanya.
Sanusi Dedah Guna Bahasa Hindi Ketika Bertemu Duta India
Jelas Sanusi, Bahasa Inggeris menjadi bahasa yang digunakan olehnya ketika berkomunikasi dengan wakil wakil Amerika Syarikat, Australia dan Kanada.
Bukan itu sahaja, dia turut menggunakan bahasa Hindi bersama duta India dengan menyelitkan istilah yang biasa didengarnya dalam filem Hindustan.
“Bahasa apa pun penting, lebih penting lagi ialah prestasi kita dan cara penyampaian. Selagi orang boleh faham dan terima, Alhamdulillah.
“Saya sudah pergi ke 38 negara dan menjalankan pelbagai misi, semuanya menggunakan bahasa Inggeris. Mereka faham saja,” jelasnya.
Komunikasi Bukan Sekadar Soal Bahasa Yang Sempurna Tetapi Penyampaian Maksud
Jelas Sanusi, keadaan itu menunjukkan komunikasi bukan sekadar soal bahasa yang sempurna.
Namun, kebolehan penyampaian maksud yang sebenar dan difahami mengikut keadaan dan latar belakang pendengar.
“Komunikasi ini bukanlah pembaris (lurus). Kita bercakap selagi maksud dapat difahami.
“Walaupun tatabahasa betul, tetapi orang tiada dalam dewan atau tidak mendengar apa yang kita sampaikan, tidak ada makna juga,” ujarnya.
Ada Pihak Terlalu Serius Dengan Jenaka ‘Don’t Play Play’ Dalam Forum – Sanusi
Pada masa sama, Sanusi menyifatkan sesetengah pihak terlalu serius dan gagal memahami unsur Jenaka dalam ucapannya di forum berkenaan.
Jelasnya, ungkapan ‘Don’t play play’ yang digunakan sewaktu membangkitkan isu kelewatan pengeluaran unsur nadir bumi (REE) adalah merupakan bahasa harian yang disampaikan secara gurauan seperti bahasa sindiran.
“Bila saya sebut ‘don’t play play’. Itu kan bahasa harian diguna hari-hari. Melawak saja, takkan itu pun ambil serius.
“Mungkin mereka cemburu saya cakap BI kot. Padahal itu ‘joke’ tapi mereka ini pembaris (lurus), anggap serius,” ujarnya.
Berdiam Diri Juga Adalah Satu Bentuk Komunikasi
Tegas Sanusi lagi, komunikasi juga bukanlah hanya melalui percakapan malah berdiam diri juga baginya adalah satu bentuk komunikasi.
“Kebanyakan orang ambil benda jenaka sebagai serius, mereka tak pandai melawak. Masa saya cakap dialek Sik, orang usaha untuk faham apa saya kata.
“Walaupun saya cakap melawak, orang ambil peduli. Jadi usahakan supaya kita menjadi penting kepada dunia. Jangan sampai orang tak peduli pada kita.
“Macam ceplos pandai cakap bahasa Inggeris, jadi keyboard warrior saja. Saya orang Sik, jadi ada dialek Sik, cakap BI cara Sik tapi boleh jadi MB,” jelasnya.
Baca Artikel Berkaitan: “Beri Inspirasi” – Mat Saleh Ini Puji Rakyat Malaysia, Tak Kekok Bertutur Lebih 1 Bahasa [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Lambang Perpaduan” – Mekyun Perjelas Kenapa Lebih Selesa Buat Konten Dalam Bahasa Melayu [Video]





