Penghantar barang didakwa amang seksual budak 12 tahun

15 Sep 2026 • 1:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penghantar barang didakwa amang seksual budak 12 tahun
Tertuduh (tengah) ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Selasa atas dua pendakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun.

​KUALA TERENGGANU - Seorang penghantar barang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun pada Jun dan September tahun lalu.

​Tertuduh, Abdul Qayyum Ahmad, 37, bagaimanapun memohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

​Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang buah dada dan kemaluan mangsa pada waktu malam sekitar Jun 2025 di Kampung Pengkalan Setar, Gelugor Kedai, di sini.

​Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa di lokasi serupa pada waktu malam, 17 September 2025.

​Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

​Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 12 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan status penarikan balik laporan.

​Syarat tambahan turut dikenakan yang memestikan tertuduh melapor diri di Balai Polis Manir pada setiap bulan dan dilarang mengganggu mana-mana saksi pendakwaan termasuk mangsa.

​Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Muhamad Nasrul Syahmi Mohd Ariffin.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved