Penghantaran sampel perubatan guna dron jimat masa, tingkat kecekapan

LocalTechnology
20 Aug 2026 • 9:58 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Penghantaran sampel perubatan guna dron jimat masa, tingkat kecekapan

Penggunaan teknologi dron dalam penghantaran sampel perubatan antara Hospital Bera dan Hoshas Temerloh berjaya menjimatkan masa sehingga 20 minit.

BERA: Penggunaan teknologi dron dalam penghantaran sampel perubatan antara hospital menunjukkan potensi dalam meningkatkan kecekapan logistik kesihatan terutama dari aspek penjimatan masa.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Razali Kasim berkata inisiatif itu dibuktikan menerusi projek Proof of Concept (POC) dilaksanakan Alphaswift Industries Sdn Bhd melibatkan penghantaran antara Hospital Bera dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. 

“Ujian mendapati penggunaan dron mampu menjimatkan kira-kira 20 minit berbanding penghantaran melalui jalan darat bagi jarak kira-kira 20 kilometer.

“Pelbagai aspek turut dinilai sepanjang tempoh POC termasuk tempoh penghantaran, kualiti sampel, ketepatan keputusan ujian serta aspek logistik bagi membandingkan kaedah penghantaran melalui udara dan jalan darat,” katanya.

Razali berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengiktirafan Pencapaian Projek Penghantaran Dron Perubatan di Hospital Bera hari ini.

Beliau berkata penggunaan dron turut menawarkan kelebihan semasa bencana alam, kesesakan lalu lintas atau gangguan jalan raya serta boleh dipertimbangkan di kawasan mempunyai cabaran akses. 

Beliau berkata inisiatif yang masih pada peringkat ujian dilaksanakan menerusi beberapa fasa bermula daripada ujian jatuh (drop test) pada 11 Dis tahun lepas, ujian penerbangan dan penghantaran pada 22 Jan serta respons kepada dron perubatan terhempas 11 Feb bagi memastikan keselamatan dan keberkesanannya.

Razali bagaimanapun berkata penghantaran sampel perubatan menggunakan dron secara rasmi masih memerlukan kajian lanjut termasuk analisis keberkesanan kos, keperluan peraturan dan peruntukan selain perlu dibuat perbandingan menyeluruh dengan kaedah melalui jalan darat.

Beliau berkata dimaklumkan ujian seterusnya dijadualkan di Tawau, Sabah. 

Sementara itu, Alphaswift Industries dalam kenyataan memaklumkan projek itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia melibatkan penggunaan dron untuk penghantaran sampel darah antara dua hospital.

Ia sekali gus memperlihatkan potensi teknologi dron dalam menyokong sistem logistik penjagaan kesihatan yang lebih cekap dan inovatif.

Projek dengan kerjasama KKM itu menjadi pencapaian penting dalam usaha meneroka penggunaan teknologi baharu bagi menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan, khususnya dalam konteks penghantaran bahan perubatan dan sampel antara fasiliti kesihatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved