Guna dron hantar sampel darah, projek rintis pertama Malaysia dan Asia Tenggara

LocalTechnology
20 Aug 2026 • 4:07 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from:  Guna dron hantar sampel darah, projek rintis pertama Malaysia dan Asia Tenggara

BERA: Penghantaran sampel darah menggunakan dron antara Hospital Bera dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, mencatat sejarah apabila menjadi projek seumpamanya yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, projek Proof of Concept (POC) itu membuktikan teknologi dron berupaya digunakan bagi penghantaran sampel darah dengan mengambil kira aspek keselamatan, pematuhan peraturan dan prosedur operasi yang ketat.

Katanya, projek rintis berkenaan dilaksanakan bagi menilai tempoh penghantaran, kualiti sampel, ketepatan keputusan ujian, kos logistik serta maklum balas kakitangan sebelum dipertimbang untuk pelaksanaan sebenar.

“Ini baru peringkat ujian dan belum dilaksanakan sebagai operasi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pelaksanaan seterusnya adalah fasa kedua yang perlu dibincangkan bersama pihak kementerian, terutama dari segi peruntukan dan kos,” katanya selepas Majlis Pengiktirafan Kejayaan Projek Penghantaran Sampel Darah antara Hospital Bera dan Hoshas, di sini hari ini.

Razali berkata, projek berkenaan melalui beberapa peringkat ujian bermula dengan Drop Test pada 11 Disember 2025, diikuti penerbangan dron pada 22 Januari 2026 dan Medical Drone Crash Response 2026 pada 11 Februari 2026.

Katanya, sepanjang tempoh ujian, lebih 120 penerbangan dilaksanakan bagi menguji sistem penghantaran sampel darah antara kedua-dua hospital.

“Jarak antara Hospital Bera dan Hoshas kira-kira 20 kilometer dan ujian menunjukkan penghantaran menggunakan dron boleh menjimatkan masa kepada sekitar 20 minit berbanding perjalanan darat yang mengambil masa kira-kira 44 minit,” katanya.

Beliau berkata, kelebihan teknologi berkenaan turut terserlah ketika berlaku banjir, kesesakan lalu lintas atau gangguan perjalanan darat kerana dron tidak bergantung sepenuhnya kepada rangkaian jalan raya.

Bagaimanapun, katanya, aspek kos masih memerlukan kajian lanjut kerana kos pada peringkat POC tidak boleh dijadikan ukuran sebenar bagi operasi berskala besar.

“Dalam POC ini kita belum mengambil kira sepenuhnya kos seperti pembelian ambulans, pemandu dan bahan api. Jadi, analisis keberkesanan kos perlu dibuat dengan lebih terperinci sekiranya projek ini mahu diperluas,” katanya.

Razali berkata, Hospital Bera ketika ini masih menggunakan kaedah pengangkutan darat untuk menghantar sampel darah dan teknologi dron belum menggantikan kaedah berkenaan.

Katanya, penghantaran sampel darah dari Hospital Bera ke Hoshas diperlukan setiap hari, termasuk sampel bagi ujian tertentu yang hanya boleh dilakukan di hospital berkenaan.

Menurutnya, projek rintis itu turut membuktikan aspek pematuhan peraturan dapat dilaksanakan memandangkan penghantaran bahan biologi seperti sampel darah memerlukan prosedur khusus selain mematuhi syarat pihak berkuasa penerbangan.

“Prosedur ini memang ketat kerana kita membawa bahan biologi dan pada masa sama perlu mematuhi peraturan penerbangan. Sebab itu POC ini penting untuk membuktikan teknologi dan pematuhan boleh dilaksanakan bersama,” katanya. – UTUSAN

 

The post  Guna dron hantar sampel darah, projek rintis pertama Malaysia dan Asia Tenggara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved