
BERA – Malaysia mencipta sejarah apabila menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang akan melaksanakan projek penghantaran darah menggunakan teknologi dron melibatkan antara hospital.
Melalui projek perintis berkenaan menyaksikan sampel darah dari Hospital Bera, di sini, dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh yang mempunyai jarak kira-kira 40 kilometer melalui jalan darat.
Melalui Projek Bukti Konsep (PoC) Penghantaran Dron Perubatan itu menyaksikan dron berkenaan mengambil masa kurang 30 minit bagi melakukan penerbangan sejauh kira-kira 20 kilometer termasuk merentas Sungai Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim, berkata, projek yang pertama seumpamanya di Malaysia itu adalah kerjasama strategik Kementerian Kesihatan Malaysia dengan syarikat Alphaswift Industries Sdn. Bhd.
“Projek ini memperlihatkan potensi teknologi dron untuk penghantaran sampel darah antara dua buah hospital sekali gus memperlihatkan potensi teknologi dron dalam menyokong sistem logistik penjagaan kesihatan yang lebih cekap dan inovatif.
“Kejayaan pelaksanaan PoC Penghantaran Dron Perubatan menjadi satu pencapaian penting dalam usaha meneroka penggunaan teknologi baharu bagi menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan.
“Projek berkenaan telah melepasi kelulusan fasa pertama dan sedia dilaksanakan bila-bila masa bergantung kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pengiktirafan Pencapaian Projek Penghantaran Dron Perubatan Hospital Bera di Hospital Bera, hari ini.
Menurutnya PoC yang telah dimulakan sejak 2025 itu telah melakukan lebih 100 penerbangan dengan membawa sampel darah dari Hospital Bera ke Hoshas.
Katanya, berdasarkan kajian, projek itu amat signifikan berdasarkan kepada kecepatan masa penghantaran berbanding kenderaan darat dan kualiti sampel darah yang terjaga.
Katanya, kajian juga meliputi ketepatan keputusan ujian, kos logistik dan maklum balas kakitangan mengenai kelebihan dan kekangan setiap kaedah penghantaran. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia cipta sejarah negara pertama Asia Tenggara hantar darah melalui dron appeared first on Kosmo Digital.





