
Kota Kinabalu: Tindakan mengharamkan vape dan rokok elektronik menimbulkan kekeliruan kepada pemain industri dan pengguna.
Tindakan ini dilihat mengalihkan perhatian sebenar daripada kelemahan sistem dan mampu membuka ruang kepada peningkatan jualan vape di pasaran gelap.
Ketua Pegawai Eksekutif Nanostix Shahbudeen Jalil berkata larangan di peringkat negeri ini perlu disemak semula dengan lebih menyeluruh bagi mengelakkan kekeliruan.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Langkah beberapa Kerajaan Negeri ini mengundang kekeliruan bukan saja kepada pemain industri tetapi kepada pengguna di negara ini. Sementara itu, Kerajaan Persekutuan menyeru untuk pengawalseliaan yang lebih baik tetapi pada masa sama, pengharaman penuh dikuatkuasakan di peringkat Kerajaan Negeri.
“Perkara ini menimbulkan persoalan seolah-olah kerajaan negeri menidakkan kebijaksanaan perundangan dan peraturan yang telah dibuat di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Shahbudeen, isu sebenar yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan adalah penyalahgunaan vape khususnya menyeludup masuk bahan terlarang seperti ‘Vape Magic Mushroom’ ke Malaysia.
Katanya, vape terlarang kini dijual secara terbuka di sosial media oleh pihak tidak bertanggungjawab dan bukannya yang dijual oleh syarikat tempatan yang sah.
“Mengalih tumpuan kepada industri yang mematuhi undang-undang hanya akan mengalihkan perhatian daripada kelemahan sebenar bukan saja dalam sistem penguatkuasaan di pintu masuk negara tetapi juga di peringkat pihak berkuasa tempatan.
“Industri vape wujud bukan cuma untuk menjadi pengganti rokok semata-mata tetapi juga menyumbang kepada ekonomi negara dan menyediakan ribuan peluang pekerjaan.
“Untuk itu, tindakan mengharamkan penjualan vape hanya akan membuka ruang kepada pasaran gelap atau penyeludupan untuk berkembang, sekali gus boleh menjadi satu risiko yang jauh lebih besar kepada masyarakat,” katanya.
Shahbudeen juga menyeru agar pihak berkuasa untuk mengukuhkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada dan memantau aktiviti penyeludupan dadah berbahaya dengan lebih ketat.
“Penting untuk kawalan bahan mentah diutamakan kepada produk tempatan bagi memastikan kualiti dan keselamatan pengguna. Selain itu, perlu juga ada libat urus yang telus dengan industri sebelum sesuatu keputusan diambil kerana ini mampu memberi impak kepada ekosistem ekonomi tempatan.
“Pastinya, usaha lain yang perlu juga adalah berikan kesedaran serta kefahaman kepada pengguna mengenai perbezaan vape yang ada kelulusan Kastam dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan yang dibawa masuk secara haram,” jelasnya.
Tambahnya lagi, fokus sebenar yang perlu diberikan adalah bagaimana untuk membanteras masalah penyeludupan dan penyalahgunaan dadah, bukannya menghukum industri yang patuh pada undang-undang.
“Kami percaya masa depan industri ini bergantung kepada keseimbangan antara kawal selia yang efektif dan sokongan kepada pemain industri tempatan dan kami kekal komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan demi memastikan industri vape Malaysia berkembang secara sihat, selamat dan bertanggungjawab.
“Cadangan lain yang boleh dipertimbangkan oleh pihak berwajib ialah mengharamkan atau menyekat sepenuhnya pengimportan cecair vape dari luar negara sebagai langkah kawalan yang lebih tegas.
“Ini penting bagi memastikan hanya produk yang memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti ditawarkan kepada pengguna tempatan dan mengurangkan risiko kemasukan cecair yang mengandungi bahan terlarang atau berbahaya,” katanya.





