Penghormatan besar buat Malaysia

5 Nov 2025 • 10:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhammad Hafizuddin (kanan) sandaran negara untuk meraih pingat Kejohanan Petanque Asia di Cheras bermula Khamis. Foto MBSF.

MALAYSIA menjadi tumpuan arena petanque di rantau Asia apabila dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Petanque Asia 2025 yang dijadual bermula pada Khamis hingga Ahad ini.

Kejohanan edisi keenam itu akan berlangsung di Arena Petanque Kuala Lumpur, Cheras melibatkan penyertaan 141 peserta dari 15 negara.

Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah susulan kebimbangan beberapa negara yang bertanding mengenai isu keselamatan di Iran selain berdepan urusan perjalanan.

Justeru, ia mendorong Konfederasi Sukan Boules Asia (ASBC) menawarkan hak penganjuran kepada Malaysia dan memindahkan kejohanan itu ke Kuala Lumpur.

Kejohanan tersebut turut menjadi medan buat beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia melakukan persediaan bagi mengharungi Sukan SEA 2025 di Thailand pada Disember depan.

Pemangku Presiden Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF), Cheah Ban Cheng berkata, pihaknya gembira kerana Malaysia diberikan kepercayaan buat kali ketiga bagi menganjurkan kejohanan itu.

“Ia satu penghormatan yang cukup besar buat Malaysia kerana sekali lagi diberikan kepercayaan untuk menganjurkan kejohanan penting di peringkat benua ini.

“Kami sentiasa bersedia menjadi tuan rumah dan berbangga untuk menganjurkan acara yang mencerminkan tahap tertinggi dalam persaingan. Saingan kali ini pasti lebih menarik,” katanya.

Pada edisi kali ini, dua acara dipertandingkan iaitu precision shooting dan triples melibatkan kategori lelaki, wanita dan remaja.

Atlet negara, Muhammad Hafizuddin Mat Daud pastinya menjadi tumpuan pada kejohanan itu nanti selepas meraih pingat gangsa pada Kejohanan Dunia di Rom, Itali September lalu.

“Pasukan negara sedang membina momentum yang mantap di pentas dunia dan kejohanan ini adalah platform terbaik sebelum ke Sukan SEA di Thailand,” kata Ban Cheng.

Sebagai rekod, Malaysia pernah menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan pada edisi 2018 dan 2023.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved