Dikatakan Kereta Paling Selamat Di Dunia, Ini Fakta ‘The Beast’ Kenderaan Rasmi Presiden AS

27 Oct 2025 • 3:24 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia pada Ahad bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 telah mencuri tumpuan dunia.

Difahamkan, ini merupakan kunjungan sulung Trump ke Malaysia dan rantau Asia Tenggara selepas memegang jawatan sebagai Presiden AS buat kali kedua pada Januari lalu.

Namun, apa yang lebih menarik perhatian ramai apabila Trump turut membawa kenderaan rasmi yang digelar The Beast dalam kunjungan rasminya.

Kereta paling selamat di dunia

Kenderaan rasmi Presiden AS ini bukanlah hanya sekadar kenderaan biasa. Ia merupakan limosin jenis Cadillac One 2009 yang dikatakan paling kebal di dunia dan memiliki ciri keselamatan tahap tertinggi.

Dibina khas oleh General Motors untuk Perkhidmatan Rahsia, The Beast direka untuk menghadapi pelbagai bentuk serangan sama ada ancaman fizikal, biokimia dan juga siber.

Menurut laporan NBC News, pintu penumpang limosin ini tidak mempunyai lubang kunci, hanya ejen Perkhidmatan Rahsia mengetahui cara membukanya.

Setiap aspek reka bentuknya difokuskan sepenuhnya kepada keselamatan maksimum pemimpin paling berkuasa di dunia itu.

Berat umpama sebuah lori

Berat ‘kubu bergerak’ ini dianggarkan antara lapan hingga 10 tan, dengan penyaduran perisai setebal lapan inci serta lantai berperisai yang mampu menahan letupan bom.

Tingkapnya sejenis kalis peluru manakala pemegang pintu boleh memberi kejutan elektrik kepada penceroboh. Limosin ini turut dilengkapi sistem pelepasan asap bagi mengaburkan pandangan musuh.

Bukan itu sahaja, limosin ini turut menyimpan bekalan darah yang sepadan dengan jenis darah presiden serta mempunyai sistem oksigen sendiri sekiranya berlaku serangan kimia!

Kenderaan mewah ini memiliki sistem komunikasi berteknologi tinggi, yang membolehkan presiden berhubung terus dengan pegawai kerajaan, ketua tentera dan sekutu antarabangsa dalam sebarang situasi.

image is not available

The Beast selalunya bergerak dalam konvoi bersama kereta umpan (decoy), SUV berperisai dan kenderaan khas lain yang dikawal oleh ejen Perkhidmatan Rahsia.

Kali terakhir kereta tersebut berada di Malaysia sekitar 10 tahun lalu ketika Barack Obama mengadakan lawatan rasmi semasa menjawat jawatan Presiden AS.

Dengan kesemua ciri keselamatan dan teknologi yang ada pada kenderaan ini, tidak hairanlah mengapa ia digelar The Beast.

Sumber: mStar, Facebook

Sumber: Berita Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.