
KUALA LUMPUR – Orang ramai tidak perlu membuat sebarang pendaftaran untuk menikmati inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95), sebaliknya hanya perlu menggunakan MyKad bagi mendapatkan harga bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kaedah itu hampir menyerupai proses transaksi sedia ada, dengan hanya menambah satu langkah pengesahan MyKad sebelum meneruskan pembayaran seperti biasa.
“Pembaca MyKad disediakan bukan sahaja di dalam kedai, malah turut ditempatkan di pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan.
“Bagi mereka yang celik digital, turut disediakan opsyen pembayaran tanpa sentuh seperti Touch ‘n Go serta aplikasi syarikat minyak termasuk Setel, supaya tidak perlu menggunakan MyKad pada setiap transaksi,” katanya pada sidang media di Putrajaya, Isnin ini.
Menurut beliau, pelaksanaan Budi95 ini membolehkan subsidi petrol diagihkan secara lebih bersasar dan efisien tanpa membebankan rakyat dengan prosedur rumit.
