ISU pengkelasan pendapatan T20, M40 dan B40 kembali menjadi perhatian susulan kebimbangan rakyat terhadap pelaksanaan subsidi bersasar dan pengurangan subsidi RON95 yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup masyarakat.
Sistem pengkelasan sedia ada kini dipersoalkan kerana dianggap terlalu umum dan tidak lagi menggambarkan realiti sebenar kehidupan rakyat, khususnya mereka yang tinggal di bandar besar dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Pengkelasan tersebut bukan lagi sekadar digunakan sebagai data statistik, sebaliknya menjadi asas utama dalam menentukan kelayakan rakyat untuk menerima subsidi, bantuan kerajaan, insentif pendidikan, bantuan perumahan serta pelbagai bentuk sokongan lain.
Bagaimanapun, pendekatan yang dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengambil kira faktor setempat menimbulkan kebimbangan apabila terdapat rakyat yang tercicir daripada bantuan walaupun berdepan tekanan kewangan yang serius.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki turut menegaskan bahawa tafsiran terhadap kategori pendapatan seperti T20 dan M40 perlu dibuat secara berhati-hati dengan mengambil kira realiti kos sara hidup serta beban tanggungan keluarga.
Menurut beliau, pendapatan isi rumah sebanyak RM13,000 misalnya tidak semestinya menggambarkan sesebuah keluarga berada dalam keadaan selesa, khususnya bagi mereka yang tinggal di bandar besar dan mempunyai ramai anak yang masih belajar.
Beliau turut menyatakan bahawa terdapat keluarga yang secara teknikal dikategorikan sebagai T20, namun realitinya boleh jatuh ke kelompok M40 atau bahkan B40 selepas mengambil kira komitmen bulanan yang perlu ditanggung.
Kenyataan tersebut dilihat selari dengan rungutan rakyat yang mendakwa status T20 tidak semestinya menggambarkan kehidupan mewah kerana kos sara hidup di bandar besar semakin meningkat.
Hakikatnya, T20 di Kuala Lumpur tidak sama dengan T20 di kawasan luar bandar, pendapatan RM10,000 hingga RM13,000 bagi keluarga besar di bandar juga belum tentu menjamin kehidupan yang selesa.
Ramai golongan M40 dan T20 sebenarnya hidup dengan komitmen besar seperti ansuran rumah,kos penjagaan anak,yuran pendidikan,tanggungan ibu bapa, pengangkutan,serta peningkatan kos sara hidup harian.
Situasi ini menyebabkan muncul sindiran dalam kalangan masyarakat bahawa ada individu yang T20 di atas kertas tetapi hujung bulan tinggal RM20 dalam akaun.
Pada masa sama, sebahagian golongan T20 dan M40 menyuarakan rasa tidak puas hati kerana merasakan mereka memainkan peranan besar sebagai pembayar cukai utama negara, tetapi semakin kurang menikmati manfaat daripada kerajaan.
Golongan terbabit terdiri daripada profesional, doktor, jurutera, penjawat awam kanan, usahawan kecil dan sederhana serta pasangan bekerja di bandar utama.
Akibat tekanan kos hidup dan pengurangan subsidi, sebahagian mereka mula merasakan golongan produktif sedang 'dihukum kerana berjaya' apabila semakin banyak subsidi dan bantuan ditarik sedangkan kos kehidupan terus meningkat.
Justeru, sudah tiba masanya pendekatan yang lebih adil dan menyeluruh diperkenalkan dalam menentukan kelayakan subsidi dan bantuan rakyat.






