
"Pengorbanan Mulia," Keluarga Syukri Bazli Benarkan Derma Organ, KKM Rakam Penghargaan
Hidup ini tidak pernah menjanjikan kebahagiaan yang kekal. Setiap insan pasti akan diuji dan antara ujian paling berat adalah kehilangan orang tersayang.
Hakikatnya, tiada yang abadi di dunia ini. Setiap yang bernyawa pasti akan kembali kepada Pencipta, meninggalkan kenangan dan duka buat yang ditinggalkan.
Baru-baru ini, tular pemergian seorang lelaki yang dikenali sebagai Allahyarham Mohammad Syukri Bazli akibat serangan jantung.
Namun di sebalik kehilangan yang menyayat hati itu, terserlah keikhlasan luar biasa apabila keluarganya membenarkan pendermaan organ milik Allahyarham demi memberi harapan baharu kepada insan lain.
KKM hargai keluarga Allahyarham Mohammad Syukri Bazli atas pendermaan organ
Menerusi perkongsian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada keluarga Allahyarham atas keikhlasan mereka membenarkan pendermaan organ dan tisu.
Menurut kenyataan KKM, sumbangan tersebut telah memberi sinar harapan serta peluang kehidupan baharu kepada pesakit yang memerlukan, sekali gus membantu meningkatkan kualiti hidup penerima organ.
“Tindakan ini bukan sahaja memberi manfaat besar kepada pesakit, malah menjadi contoh teladan yang tinggi nilainya kepada masyarakat dalam menyemai kesedaran mengenai kepentingan pendermaan organ,” menurut kenyataan itu.
KKM turut mendoakan agar Allahyarham dikurniakan ganjaran pahala yang berpanjangan atas amal kebaikan tersebut serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Sementara itu, tular video TikTok oleh @nfhr_02 memaparkan petugas kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham, yang disifatkan sebagai wira kerana menyelamatkan tiga nyawa melalui pendermaan organ.
Menerusi kapsyen video tersebut, dinyatakan bahawa Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung, namun keikhlasan keluarganya membenarkan pendermaan organ telah membantu memberi peluang kehidupan kepada tiga pesakit.
“Wira tanpa nama, selamatkan tiga nyawa. Terima kasih orang baik,” menurut kapsyen berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang warganet turut mengucapkan takziah dan mendoakan yang terbaik buat Allahyarham.
"Manusia yang Allah sayang adalah yang memberi manfaat kepada orang lain, walaupun sudah tiada di dunia tetapi kebaikanny tetap berjalan. Semoga syurga buat manusia baik," kata seorang warganet.
"Terima kasih orang yang sangat baik, semoga Jannah tempatmu," kata seorang lagi.




![Sifat Suka Membantu Jadi Sebab Keluarga Arwah Muhammad Syukri Teruskan Proses Pendermaan Organ [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/04/penderma-organ_2.jpg?t=1777261938)

