
KUALA LUMPUR – Kasih seorang ayah tidak selalu dizahirkan dengan kata-kata, sebaliknya melalui pengorbanan yang dilakukan tanpa berkira. Demi memastikan anak selamat mencari rezeki, ada yang sanggup berulang-alik menempuh perjalanan jauh setiap hari walaupun berdepan keletihan dan risiko di jalan raya. Kisah inilah yang menyentuh hati ramai pengguna media sosial baru-baru ini.
Pengorbanan seorang bapa yang sanggup menghantar anaknya bekerja dari Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur dengan menaiki motosikal telah meraih perhatian netizen.
Menerusi satu perkongsian di Threads oleh seorang wanita dikenali sebagai @iamtherealshwty, dia berkongsi rutin hariannya ke tempat kerja yang memerlukan perjalanan jauh. Lebih menyentuh perasaan, dia memaklumkan bahawa bapanya yang dikenali sebagai ‘Papazola’ setia menghantar dan mengambilnya setiap hari.
“Saya kerja dari Negeri Sembilan ke KL, naik motor. Bapak saya lah Papazola yang selalu hantar saya pergi balik. Doakan bapak saya yang terbaik ya ,” tulisnya.
“Doakan Bapak Saya Yang Terbaik” — Luahan Ikhlas Undang Reaksi Netizen
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya tersentuh dengan pengorbanan seorang ayah demi keselamatan dan kesejahteraan anak.
Antara komen yang ditinggalkan termasuk doa agar kedua-dua mereka sentiasa dimurahkan rezeki serta diberikan kesihatan yang baik. Tidak kurang juga yang menasihatkan agar si anak menggunakan pengangkutan awam atau mencari bilik sewa berhampiran tempat kerja demi keselamatan bapanya.
Bagaimanapun, wanita itu memaklumkan bahawa cadangan tersebut pernah dicuba, namun bapanya tidak mengizinkan kerana lebih selesa memastikan anaknya selamat pergi dan pulang dari tempat kerja.
Dalam masa sama, ada netizen mengingatkan agar jasa dan pengorbanan ibu bapa sentiasa dikenang, terutamanya apabila mereka semakin berusia. Ramai turut mendoakan agar si anak suatu hari nanti dikurniakan rezeki yang lebih baik untuk membalas pengorbanan bapanya.
Perkongsian ini sekali gus menjadi peringatan tentang kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa yang sering dilakukan tanpa mengharapkan balasan, demi memastikan anak-anak berada dalam keadaan selamat ketika mencari rezeki. – The Malaysian Update
The post Pengorbanan Seorang Bapa Hantar Anak Ke Tempat Kerja Raih Perhatian Netizen appeared first on The Malaysian Update.



