Pengotor atau gangguan mental?

Health & FitnessLifestyle
28 Sep 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pengotor atau gangguan mental?

RUMAH yang sepatutnya menjadi tempat paling selesa boleh bertukar menjijikkan apabila penghuninya mengabaikan kebersihan pada tahap tidak masuk akal.

Kosmo! pada 4 Mei lalu melaporkan sebuah rumah sewa diibaratkan seperti ‘tong sampah’ dengan sisa makanan dan minuman basi serta pakaian bersepah memenuhi ruang kediaman wanita berusia 22 tahun.

Pada September 2025, seorang pemilik mendakwa penyewa bukan sahaja meninggalkan tunggakan sewa, air dan elektrik selama enam bulan, malah satu bilik dipenuhi najis kucing serta sampah makanan sebelum bertindak melarikan diri.

Lebih mengejutkan, tular dalam media sosial mengenai individu yang memilih menggunakan botol atau plastik untuk membuang air kecil walaupun ada tandas.

Ada juga yang didakwa menggunakan baldi untuk membuang najis sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai perubahan tingkah laku serta rutin asas manusia.

Persoalannya, mengapa seseorang sanggup melakukan perkara sedemikian sedangkan tandas hanya beberapa langkah dari tempat tidur?
Adakah mereka ini pengotor, pemalas atau sebenarnya terdapat sesuatu yang berlaku terhadap mentaliti serta kemampuan mengurus kehidupan?

Menurut psikologis klinikal, Kelly Chan, individu dengan masalah seperti itu jarang mendapatkan bantuan kerana menyedari mereka mengalami gangguan berkenaan.

“Dalam amalan klinikal yang saya praktik, klien jarang datang mengatakan mereka mengalami gangguan seumpama itu.

“Lebih kerap, mereka mendapatkan bantuan kerana kemurungan, keresahan atau tekanan yang melampau,” katanya kepada Kosmo!.

Ujarnya, keadaan sebenar hanya dapat dikenal pasti selepas pengalaman, emosi dan tingkah laku individu diteroka serta diperhalusi dengan lebih mendalam.

Sementara itu, Pensyarah Psikologi Sunway University, Dr. Hiran Shanake Perera pula mengingatkan bahawa rumah berselerak tidak semestinya menunjukkan seseorang mengalami gangguan penimbunan (hoarding disorder).

Ia merujuk kepada keadaan kesihatan mental apabila seseorang sukar membuang atau berpisah dengan barang, meskipun ia sebenarnya tidak lagi diperlukan atau mempunyai nilai yang kecil.

“Berbeza daripada keadaan bersepah. Orang yang bersepah akhirnya boleh mengemas dan berasa lega selepas itu.

“Gangguan penimbunan berlaku apabila barang terkumpul sampaikan ruang kediaman terjejas dan fungsi harian turut terganggu.

“Dalam keadaan lebih ekstrem, pengabaian diri atau self-neglect boleh menyebabkan seseorang gagal menjaga kebersihan diri, kesihatan serta persekitarannya,” katanya.

Namun, rumah kotor tidak boleh terus dianggap bukti seseorang mengalami gangguan mental kerana puncanya mungkin berbeza setiap orang.

Ujarnya, faktor fizikal, tekanan emosi, ketagihan atau kesukaran melaksanakan tugasan harian juga boleh menyebabkan rutin asas semakin terabai.

“Lebih parah, seseorang boleh kelihatan kemas dan normal di luar rumah tetapi menjalani kehidupan sangat berbeza apabila bersendirian.

“Jadi apa sebenarnya berlaku hingga seseorang tidak lagi melihat rumah sendiri sebagai tempat yang perlu dijaga dan sanggup hidup
bergelumang dengan kotor serta bersepah saban hari?” katanya.

The post Pengotor atau gangguan mental? appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved