TINDAKAN seorang pemandu bas ekspres yang didakwa menuang cecair ke dalam botol ketika memandu bukan sekadar isu disiplin individu, sebaliknya mencerminkan kelemahan aspek pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan pengangkutan awam.
Lebih membimbangkan, insiden itu berlaku ketika bas sedang bergerak dan membawa penumpang, sekali gus mengundang risiko kemalangan besar.
Sebagai langkah mengatasi isu tersebut, kerajaan menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disaran memperketat pemantauan terhadap syarikat bas ekspres, khususnya bagi perjalanan jarak jauh dan waktu malam.
Kehadiran pegawai penguat kuasa secara berkala di dalam bas ekspres boleh dipertimbangkan sebagai langkah pencegahan, terutama pada laluan berisiko tinggi yang melibatkan perjalanan melebihi empat jam.
Selain itu, pemasangan kamera pemantauan dalam kabin pemandu perlu diwajibkan bagi semua bas ekspres kerana rakaman itu bukan sahaja membantu siasatan jika berlaku insiden, malah mampu menjadi mekanisme kawalan terhadap tingkah laku pemandu ketika bertugas.
Syarikat pengendali bas juga tidak boleh hanya mengejar keuntungan tanpa mengambil kira kebajikan dan tahap kesiapsiagaan pemandu.
Pemeriksaan kesihatan berkala termasuk ujian saringan dadah dan tahap keletihan perlu dilakukan dengan lebih kerap bagi memastikan pemandu benar-benar berada dalam keadaan cergas sebelum memulakan perjalanan.
Pada masa sama, penumpang juga harus diberikan saluran aduan pantas seperti kod QR atau talian khas untuk melaporkan sebarang tindakan berbahaya pemandu secara terus kepada pihak berkuasa.
Insiden tular seperti ini perlu dijadikan amaran serius dan sekiranya tiada tindakan tegas serta penambahbaikan menyeluruh dilakukan, keselamatan ribuan pengguna bas ekspres akan terus berada dalam keadaan membimbangkan.




