Pemandu mabuk, lawan arus rempuh penunggang motosikal dituduh Isnin ini

16 May 2026 • 11:34 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemandu mabuk, lawan arus rempuh penunggang motosikal dituduh Isnin ini
Tangkap layar rakaman video kemalangan yang tular di media sosial.

SHAH ALAM - Pemandu kereta yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol serta memandu melawan arus sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal parah dalam kejadian di Persiaran Kota, Klang pada Rabu lepas, akan dituduh di Mahkamah Klang Isnin ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kertas siasatan berkenaan insiden itu telah diserah kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Jit Huey berkata, semalam, tempoh reman suspek lelaki berusia 30-an itu disambung hingga 19 Mei.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, seorang penunggang motosikal lelaki berusia lingkungan 20-an tercampak dan mengalami kecederaan parah pada anggota badan termasuk kaki kanan selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah Perodua Bezza.

Jit Huey sebelum ini berkata, kenderaan yang dipandu suspek dipercayai bergerak dari arah Pelabuhan Klang menuju ke Shah Alam secara melulu dan melawan arus sejauh kira-kira 3.5 kilometer sebelum merempuh motosikal mangsa.

Hasil ujian saringan awal mendapati pemandu kereta tersebut positif alkohol dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama