Penguatkuasaan terhad di KLIA hanya libatkan AKPS, AVSEC

LocalPolitics
1 Oct 2026 • 2:38 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penguatkuasaan terhad di KLIA hanya libatkan AKPS, AVSEC

PUTRAJAYA – Proses pemeriksaan dan temu bual Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dengan warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu hanya melibatkan pasukan itu bersama Aviation Security (AVSEC) sahaja.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, bagaimanapun, proses penguatkuasaan terhad yang dijalankan itu tidak melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana agensi penguatkuasaan yang lain.

Mohd. Shuhaily berkata demikian pada satu sidang akhbar khas bagi menjelaskan secara terperinci berhubung kejadian yang berlaku di KLIA susulan penularan video tular melibatkan dirinya.

Mengulas mengenai kejadian itu, Mohd. Shuhaily berkata, ketika kejadian, beliau dan pasukan membuat tinjauan persediaan AKPS dalam menerima pengunjung sempena perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 hujung minggu ni.

“Selepas itu, AKPS dan AVSEC membuat penguatkuasaan terhad kepada sindiket ulat warga asing yang kemudiannya membawa kepada penahanan seorang individu.

“Kita membawa individu itu ke bilik pemeriksaan bagasi kepunyaan AVSEC dan ingin saya tegaskan di sini bahawa penguatkuasaan itu hanya melibatkan pegawai AKPS dan AVSEC sahaja,” katanya hari ini.

Tambah Mohd. Shuhaily, ketika temu bual itu, tanpa disedari muncul dua individu yang tidak dikenali sedang merakam perbuatannya.

Katanya, bagaimanapun arahan telah diberikan kepada mereka supaya memadamkannya.

“Dan seperti mana tuan-tuan dapat lihat dalam klip tersebut saya telah memberikan amaran yang paling tegas, setegas-tegasnya sebagai seorang pegawai polis yang telah diamanahkan dan biasa memberi arahan sekerasnya.

“Selepas itu, laporan polis dibuat ke atas saya pada 29 September, manakala laporan kedua diterima dua hari selepas kejadian sebelum disusuli dengan klip video rakaman di media sosial,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai motif di sebalik penyebaran video berkenaan, katanya, perkara berkenaan wajar diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Bagi pihak polis siasat yang lebih lanjut. Rakaman yang dibuat itu pun saya tak tahulah tujuan apa pada asalnya.

“Klip yang tular itu ia bukan datang daripada sumber asli. Ia diambil daripada satu lagi peranti untuk ditularkan. Dalam perkataan lain, siapakah mereka? Apakah tujuan mereka?,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

The post Penguatkuasaan terhad di KLIA hanya libatkan AKPS, AVSEC appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved