SHAH ALAM- Langkah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam memperkukuh sistem pengambilan pekerja asing disifatkan lebih telus, mudah dan cekap.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, pihaknya menyokong inisiatif KESUMA yang diterajui Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan dalam memperkukuh sistem berkenaan.
Menurutnya, langkah yang diambil kementerian itu selari dengan kehendak pemain industri yang sekian lama menyeru pihak kerajaan untuk memperbaiki tadbir urus pengambilan tenaga kerja asing dan memastikan proses yang lebih tersusun dan berintegriti.
"Sistem berkenaan bukan sahaja menyelesaikan isu seperti yang dibangkitkan komuniti industri yang memerlukan pekerja asing, malah membantu memperkemas keseluruhan proses pengambilan pekerja dari negara sumber.
“Pendekatan ini merupakan langkah penting dalam membanteras penglibatan ejen haram yang sekian lama mengambil kesempatan ke atas majikan dan pekerja asing,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Ramanan memaklumkan, beliau tidak melihat sebarang masalah berhubung cadangan penggunaan sistem baharu pengambilan pekerja asing yang dibangunkan Bestinet Sdn Bhd.
Ramanan berkata, kementeriannya kini membincangkan mekanisme pelaksanaan sistem berkenaan dan akan membentangkan kertas kepada Kabinet selepas ini.
Mengulas lanjut, Norsyahrin berkata, sistem yang lebih berpusat dan telus itu juga mampu menutup ruang kepada amalan tidak beretika, di samping meningkatkan keyakinan industri terhadap mekanisme sedia ada.
“DPMM menyokong penuh usaha Menteri Sumber Manusia dalam pelaksanaan sistem ini dan komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan keberhasilannya,” katanya.


