KUALA LUMPUR - Laporan Bloomberg yang mendakwa Malaysia merancang mengguna pakai sistem baharu pengambilan pekerja asing dibangunkan Bestinet Sdn Bhd, mencetuskan pelbagai soalan.
Sumber kerajaan berkata, laporan berkenaan sekali lagi meletakkan pemilik Bestinet, Datuk Seri Aminul Islam Abdul Nor dalam perhatian umum, selepas sekian lama figura itu dikaitkan dengan pelbagai kontroversi dalam industri pengambilan pekerja asing.
Menurut sumber, laporan terbabit memetik sistem dikenali sebagai The Universal Recruitment Advanced Platform (Turap), yang akan diguna pakai bagi menyediakan portal digital untuk membolehkan majikan mendaftar serta mencari pekerja.
Menerusi laporan itu, perisian berkenaan dipasarkan bagi membolehkan syarikat menggaji pekerja secara terus tanpa melalui orang tengah yang mengenakan caj berlebihan.
“Bestinet hanyalah salah satu pihak yang mengemukakan cadangan sistem baharu pengambilan pekerja asing.
“Setakat ini, tiada apa-apa dibincangkan atau dibentangkan di Kabinet, dan sudah tentu tiada mana-mana syarikat dianugerahkan projek berkenaan,” kata sumber kanan kerajaan.
Bestinet ketika ini mengendalikan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), platform yang sejak sekian lama menjadi tumpuan persoalan berhubung proses pengambilan pekerja migran ke Malaysia.
Laporan siasatan oleh The Vibes pada Disember 2022 memperincikan bagaimana sistem itu dibelenggu kontroversi, khususnya dalam koridor Bangladesh, apabila kewujudan pelbagai lapisan orang tengah serta proses yang tidak telus menyebabkan pekerja terdedah kepada caj berlebihan dan eksploitasi.
Kebimbangan tersebut tidak pernah benar-benar reda, malah terus membayangi setiap usaha reformasi yang dikaitkan dengan ekosistem sama.
Menerusi peguamnya, Aminul bagaimanapun menafikan menyumbang kepada masalah berkenaan.

Dakwa Aminul, sistem seperti FWCMS hanyalah infrastruktur iaitu alat yang digunakan pihak lain dan tanggungjawab sebenar terletak pada agensi penguat kuasa serta perekrut yang menyalahguna kemudahan terbabit.
Pada 2024, pihak berkuasa Bangladesh mengambil langkah lebih tegas apabila menggesa Malaysia menghentikan penggunaan FWCMS sepenuhnya serta menuntut ekstradisi Aminul.
Polis negara itu mendakwa, wujud sistem yang ‘memeras pekerja secara penipuan’, satu dakwaan yang menyentuh secara langsung struktur pengambilan pekerja diamalkan selama ini.
Pihak berkuasa Malaysia mengakui telah berhubung dengan rakan sejawat di Bangladesh, namun tiada tindakan lanjut diambil setakat ini.
Dalam konteks sama, cadangan pelaksanaan Turap menimbulkan persoalan lebih kritikal; apakah sebenarnya yang berubah?
Sumber yang arif dengan perbincangan tersebut berkata, sebarang kontrak berkaitan dilaporkan boleh mencecah tempoh sehingga 12 tahun, di bawah model yang merangkumi caj signifikan bagi setiap pekerja.
Dengan lebih dua juta pekerja asing berkemahiran rendah di Malaysia, nilai kewangan yang terlibat adalah amat besar.
Pada masa sama, terdapat rasa kurang senang dalam kalangan pegawai kerajaan.
Beberapa pegawai, sama ada yang masih berkhidmat mahupun bekas pegawai, dilaporkan mempersoalkan sama ada peluasan peranan Bestinet akan memusatkan terlalu banyak pengaruh dalam sistem yang sedia dikritik kerana kurang ketelusan.
Seorang mantan Menteri Sumber Manusia difahamkan pernah membangkitkan kebimbangan tersebut sebelum rombakan Kabinet baru-baru ini.
Dari sudut pelaksanaan, keraguan masih gagal dilenyapkan sepenuhnya kerana cadangan untuk menghentikan peranan orang tengah masih menerima pelbagai reaksi skeptikal, di negara sumber tenaga kerja yang mempunyai rangkaian tempatan di luar kawalan Malaysia.
Sesetengah pegawai memberi amaran, usaha mendigitalkan sepenuhnya proses pengambilan pekerja mungkin tidak menghapuskan orang tengah, sebaliknya menolak sebahagian proses itu lebih jauh ke bawah tanah.
Secara terbuka, kerajaan menggambarkan cadangan terbabit sebagai sebahagian daripada agenda reformasi lebih luas.
Namun, butiran mengenainya masih terhad, manakala persoalan penting berkaitan pengawasan, akauntabiliti dan perlindungan masih belum terjawab.
Bagi Aminul, usaha memperkenalkan sistem baharu itu mencerminkan pendekatan yang sudah biasa iaitu mengetengahkan penyelesaian teknologi sebagai jawapan kepada masalah struktur.
Dalam kenyataan terdahulu, beliau malah berkata, reformasi sedemikian mampu meningkatkan kedudukan global Malaysia.
Selepas bertahun-tahun siasatan, dakwaan dan kebimbangan yang masih belum diselesaikan, isu ini bukan lagi sekadar mengenai pembinaan sistem yang lebih baik.
Sebaliknya, persoalan sebenar ialah sama ada aktor yang sama tetapi beroperasi di bawah kerangka berlainan, benar-benar mampu menghasilkan keputusan berbeza. - Getaran, 16 April 2026





