Pengumuman PM langkah tepat pada masa genting, tapi bantuan ‘one-off’ tak harus jadi norma: penganalisis

LocalPolitics
24 Jul 2025 • 10:00 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Pengumuman Perdana Menteri disifatkan ‘langkah tepat pada masa genting’ kerana membawa manfaat besar kepada rakyat khususnya golongan B40 dan M40 yang terus berhadapan dengan cabaran kos sara hidup.

Bercakap kepada Scoop, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ia juga membuktikan kerajaan mendengar keluh kesah rakyat dan bertindak secara proaktif.

“Dalam keadaan rakyat berdepan dengan inflasi makanan, harga rumah yang tinggi, kadar faedah pinjaman yang membebankan, dan ketidaktentuan ekonomi global, sebarang langkah kerajaan untuk meringankan beban rakyat wajar disambut baik.

“Pengumuman ini, jika benar bersifat menyeluruh dan menyasarkan kumpulan rentan secara efektif, adalah bukti bahawa kerajaan mendengar keluh kesah rakyat dan bertindak secara proaktif.

“Ia juga menjawab desakan sosioekonomi semasa yang mana pengumuman itu datang pada waktu yang kritikal - ketika ramai terperangkap dalam lingkaran hutang isi rumah, ketidaktentuan pekerjaan, serta jurang pendapatan yang semakin melebar.

“Sekiranya ia melibatkan bantuan bersasar seperti subsidi bersifat langsung, pengurangan kadar cukai untuk kumpulan berpendapatan rendah/sederhana, atau insentif pekerjaan, maka ia bukan sahaja membantu rakyat bertahan, malah meningkatkan keupayaan mereka untuk merancang kewangan dengan lebih baik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau bagaimanapun mengingatkan impak jangka pendek dan jangka panjang yang mana
kebergantungan kepada pengumuman "one-off" atau berbentuk bantuan langsung tidak seharusnya menjadi norma berterusan.

“Soalan penting yang perlu dijawab: Adakah pengumuman ini bersifat struktural atau kosmetik?.

“Jika hanya bersifat jangka pendek, maka ia sekadar memberi kelegaan sementara tanpa menyentuh akar masalah seperti ketidakpadanan upah dengan kos hidup, keperluan perumahan mampu milik, dan pengukuhan jaringan keselamatan sosial,” katanya.

Tambah Awang Azman, keberkesanan sesuatu pengumuman bukan sahaja terletak pada isi kandungannya, tetapi juga pada pelaksanaannya.

“Adakah agihan manfaat ini akan sampai kepada mereka yang benar-benar layak? Adakah mekanisme pemantauan cukup telus untuk elak ketirisan?.

“Dalam konteks kerajaan Madani, integriti dan kecekapan pelaksanaan adalah ujian sebenar terhadap niat baik dasar ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, dalam analisis politik, pengumuman sebegini juga boleh dilihat sebagai usaha mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan sedia ada, terutama menjelang fasa politik yang semakin dinamik.

“Namun, apa yang lebih penting ialah memastikan bahawa pengumuman ini tidak sekadar memenuhi naratif politik, tetapi benar-benar mencerminkan empati dan dasar ekonomi yang mampan.

“Maka pengumuman Perdana Menteri hari ini sememangnya boleh membawa manfaat besar dan melegakan rakyat dalam jangka pendek, terutama dalam menangani tekanan kos sara hidup.

“Namun ia perlu diiringi dengan dasar jangka panjang yang inklusif, pelaksanaan yang cekap, dan pemantauan yang ketat untuk memastikan keadilan sosial dan kemakmuran yang lestari dapat dicapai.

“Bantuan sementara perlu dipadankan dengan reformasi struktural agar kesejahteraan rakyat bukan sekadar retorik, tetapi realiti yang dapat dirasai dalam kehidupan seharian,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beberapa inisiatif utama bertujuan meredakan kos sara hidup dan membantu rakyat melalui tempoh peralihan ekonomi struktur.

Antara langkah utama ialah bantuan tunai RM100 secara one-off untuk setiap warganegara dewasa, yang disalurkan melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Anwar berkata kredit RM100 — berkuat kuasa 31 Ogos hingga 31 Disember — boleh dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan di lebih 4,100 cawangan di seluruh negara. Ia akan memanfaatkan kira-kira 22 juta individu, menjadikan jumlah peruntukan SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada RM15 bilion tahun ini.

Harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter apabila subsidi bersasar bermula. Dijangka memberi manfaat kepada 18 juta pemandu dan penunggang motosikal, termasuk golongan belia dan pekerja gig.

Kenaikan kadar tol yang dijadualkan untuk 10 lebuh raya telah ditangguhkan, menjimatkan lebih RM500 juta orang ramai.

Selain itu 85% pengguna domestik akan menyaksikan pengurangan sehingga 14% dalam bil elektrik untuk penggunaan Julai 2025, berbanding separuh pertama tahun ini. - 24 Julai, 2025