Pengumuman raya Sabtu beri nafas lega, perancangan lebih teratur

20 Mar 2026 • 8:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Suasana di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dilihat sesak dengan kehadiran pengunjung yang membeli-belah sebagai persiapan Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan di ibu kota malam tadi - Foto: Bernama

PENGUMUMAN rasmi bahawa Hari Raya Aidilfitri disambut pada Sabtu ini bukan sekadar penetapan tarikh, sebaliknya membawa kelegaan besar kepada umat Islam di negara ini.

Ketetapan yang diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, pada Khamis itu dilihat memberi ruang penting kepada orang ramai untuk menyusun perancangan dengan lebih teratur, khususnya dalam tempoh akhir Ramadan yang lazimnya sibuk dengan pelbagai persiapan.

Orang ramai kini mempunyai sekurang-kurangnya satu hari tambahan untuk membuat persiapan akhir, sama ada dari segi perjalanan pulang ke kampung, penyediaan juadah mahupun urusan kerja.

Dari segi pergerakan pulang ke kampung, penetapan awal itu turut membantu mengurangkan risiko kesesakan luar jangka.

Bagi golongan peniaga pula, khususnya yang terlibat dalam jualan makanan dan kelengkapan raya, pengumuman itu sudah pasti memberi kelebihan dari sudut pengurusan stok.

Hal ini kerana mereka mempunyai masa tambahan untuk menghabiskan jualan tanpa tekanan mendadak, sekali gus mengurangkan risiko kerugian akibat lebihan barangan.

Di peringkat isi rumah, terutama bagi ibu bapa di kampung, kejelasan tarikh itu turut memberi ruang untuk melengkapkan persiapan tradisi seperti memasak rendang, menyediakan kuih-muih dan membakar lemang dalam suasana lebih tenang.

Pengalaman ‘raya mengejut’ pada 2022 menjadi pengajaran penting kepada masyarakat.

Ketika itu, pengumuman Aidilfitri lebih awal daripada jangkaan menyebabkan ramai terkejut, malah ada yang terpaksa mengubah pelan perjalanan dan persiapan pada saat akhir.

Justeru, pengesahan raya pada Sabtu kali ini dilihat dapat mengelakkan pengulangan situasi tersebut.

Secara keseluruhannya, keputusan berkenaan bukan sahaja menamatkan spekulasi, tetapi turut menstabilkan perancangan sosial dan ekonomi masyarakat.

Ia membuktikan bahawa kepastian tarikh, walaupun hanya berbeza sehari, mempunyai impak terhadap kelancaran sambutan perayaan di negara ini.

Dengan masa yang lebih tersusun, Aidilfitri tahun ini dijangka disambut dalam suasana lebih tenang, terancang dan penuh makna oleh seluruh rakyat Malaysia.