Pengundi jangan terpengaruh fitnah saat akhir kempen- Nurul Izzah

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 7:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pengundi jangan terpengaruh fitnah saat akhir kempen- Nurul Izzah
Nurul Izzah bersama penduduk Kampung Orang Asli Guntur/ Chergun.

KUALA PILAH – Pengundi di Negeri Sembilan diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan serangan pihak tertentu pada saat-saat akhir kempen menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, rakyat perlu membuat pilihan berdasarkan fakta, prestasi dan hala tuju pembangunan negeri, bukannya dipengaruhi dakwaan yang tidak berasas.

"Jangan mudah termakan dengan fitnahlah, dengan serangan yang agak sengit dalam pilihan raya Negeri Sembilan ini.

"Kita mengharapkan supaya pengekalan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pakatan Harapan (PH) bagi meneruskan agenda pembangunan Negeri Sembilan.

"(Bagaimanapun) Memang bukannya mudah, sudah tertentu, banyak dinamik, banyak cabaran tetapi saya mahu tumpukan kepada rakyat negeri sendiri. Mereka yang mampu memberi mandat dan kita mahukan semuanya dipacu oleh calon tempatan dari segi kampen dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jalinan Kasih Masyarakat Asal Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh yang turut dihadiri calon PH DUN berkenaan, Mohd Aidil Abdullah di Kampung Orang Asli Guntur/ Chergun di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, PH juga terus memberi tumpuan kepada isu-isu tempatan yang memberi kesan langsung kepada rakyat, selain berharap pentadbiran Aminuddin dapat diteruskan bagi memastikan agenda pembangunan negeri berjalan lancar.

Mengulas ramalan pelbagai pihak mengenai keputusan PRN, beliau berkata, apa yang lebih penting ialah rakyat membuat pilihan sendiri dan keputusan akhir tetap berada di tangan pengundi.

Pada PRN Negeri Sembilan kali ini PH bertanding di kesemua 36 kerusi DUN dengan 16 calon mewakili PKR, 11 DAP dan sembilan lagi mewakili Parti Amanah Negara (Amanah).

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved