
MELAKA: Ramai penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu menyatakan hasrat untuk melihat Datuk Norhizam Hassan Baktee kembali menjadi wakil rakyat.
Itu pengakuan dibuat Norhizam selaku calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas mendakwa sambutan yang diterimanya sepanjang tempoh berkempen amat menggalakkan.
Beliau berkata, pengalaman berkhidmat sebagai wakil rakyat sebelum ini menjadi antara kelebihannya kerana penduduk sudah mengenali rekod perkhidmatan serta pendekatannya dalam menyelesaikan masalah.
“Apabila saya turun padang, saya menyantuni seluruh penduduk DUN Pengkalan Batu. Pusingan pertama kita turun, kita nampak sambutan alhamdulillah.
“Kita nampak mereka banyak nak membantu saya dan memberi undi kepada saya. Mereka dah tahu Datuk Norhizam ini dah ada rekod perkhidmatan.
“Mereka rasa, ‘datuk kena kembali balik. Kita nak orang macam datuk’,” katanya ketika ditemui selepas berkempen di Bachang di sini.
Norhizam berkata, masalah banjir, sistem perparitan, kebajikan dan pendidikan menjadi isu utama yang mahu diselesaikan sekiranya diberikan mandat semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Beliau berkata, sistem perparitan di Pengkalan Batu disifatkan sebagai kawasan kampung dalam bandar.
Katanya, pembangunan di sekitar menyebabkan masalah longkang sehingga terdapat kawasan yang mudah mengalami banjir apabila hujan.
“Kita tahu Pengkalan Batu ini kampung dalam bandar. Jadi, bila pembangunan itu ada, jadi isu longkang.
“Bila hujan sedikit, dia akan jadi banjir,” katanya.
Menurut Norhizam, beliau juga mahu memberikan perhatian terhadap isu berkaitan masjid, kebajikan dan pendidikan termasuk masalah pelajar yang tidak menerima bantuan untuk meneruskan pengajian. – UTUSAN
The post Pengundi mahu saya kembali jadi ADUN Pengkalan Batu – Norhizam appeared first on Utusan Malaysia.






