
PETALING JAYA: Datuk Norhizam Hassan Baktee kembali mempertaruhkan nasib di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu apabila dinamakan antara lapan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Senarai calon parti itu diumumkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin pada majlis yang berlangsung di Baitul Tariq, Klebang, malam ini.
Selain Pengkalan Batu, tujuh lagi kerusi yang menjadi pertaruhan parti itu ialah Klebang, Lendu, Gadek, Sungai Udang, Pantai Kundor, Ayer Keroh dan Bemban.
Norhizam yang juga bekas Naib Ketua Bahagian Bersatu Hang Tuah Jaya bakal kembali mencuba nasib di kawasan yang pernah diwakilinya selepas memenangi kerusi berkenaan atas tiket DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Ahli politik yang popular dengan gelaran ‘YB Beliau’ itu kemudiannya bertanding sebagai calon Bebas pada PRN Melaka 2021.
Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya BERSATU Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamed dipilih untuk membawa cabaran parti di DUN Klebang.
Pencalonan Mohamad Ali menyaksikan kerusi berkenaan bakal menjadi medan persaingan tiga penjuru apabila beliau berdepan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tangga Batu, Farzana Hayani Mohd. Nasir yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Turut mempertahankan kerusi itu ialah penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ban Hong. – UTUSAN
The post PRN Melaka: Bersatu umum lapan calon appeared first on Utusan Malaysia.





