
KUALA LUMPUR – UMNO tidak boleh terlalu yakin dengan peningkatan sokongan orang Melayu selepas kejayaan di Johor dan Negeri Sembilan kerana corak pengundian rakyat, khususnya golongan muda, semakin sukar diramal.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan pengundi muda sebagai ‘wild card electorate’ yang lebih memberi perhatian kepada kepentingan serta manfaat material dalam kehidupan mereka.
Menurut beliau, antara keutamaan golongan itu termasuk kos sara hidup, inflasi, pekerjaan dengan pendapatan munasabah, kemampuan melancong dan pemilikan rumah.
“Sikap pengundi adalah sangat ‘erratic’. Sukar sekali untuk diramal. Mereka hanya akan memilih berdasarkan kepentingan.
“Sama sekali tiada kesetiaan, hanya kepentingan. Jika mereka merasa kepentingan mereka tergugat, mereka akan meninggalkan kita,” katanya.
Mohamad berkata, UMNO juga tidak seharusnya menganggap kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan sebagai petunjuk mutlak bahawa sokongan Melayu sudah kembali.
Katanya, kemenangan itu perlu dilihat sebagai peluang kedua yang diberikan rakyat kepada UMNO.
Beliau turut mengingatkan parti itu supaya mengambil iktibar daripada kekalahan teruk di Sabah serta pengalaman pilihan raya sebelum ini.
“Jangan sesekali mudah terpedaya dengan indikasi bahawa sokongan Melayu itu telah kembali. Semuanya hanya bersifat sementara.
“UMNO mesti terus inovatif dan meneroka pelbagai strategi lautan biru,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Pengundi muda ‘wild card’, UMNO jangan leka appeared first on Kosmo Online.


