'Orang Melayu ingin perwakilan politik Melayu Islam yang kuat'- Mohamad Hasan

LocalPolitics
9 Sep 2026 • 10:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Orang Melayu ingin perwakilan politik Melayu Islam yang kuat'- Mohamad Hasan
Mohamad Hasan - Foto: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - Kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Johor dan Negeri Sembilan memberi petunjuk penting bahawa pengundi Melayu masih menginginkan perwakilan politik Melayu dan Islam yang kuat.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimana ia harus diterjemahkan terpulang kepada UMNO.

"Maknanya, orang Melayu tidak peduli dengan formula politik kita. Bagi mereka, tidak perlu pelbagai koalisi demi koalisi atau perikatan itu dan pakatan ini.

"Mereka berkehendak ialah suara politik Melayu Islam itu dominan dan menguasai.

Struktur politik formal itu tidak penting, yang penting ialah tiada pertindihan kepentingan Melayu," katanya ketika berucap pada perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia 2026 di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kesepaduan undi Melayu meyakinkan bahawa politik identiti itu akan terus menguasai persada politik Malaysia.

Katanya, fenomena itu tidak hanya terpakai di negeri jajaran Melayu atau koridor Melayu sahaja.

"Maknanya, politik identiti sukar dipisahkan dengan sikap pengundi Melayu. Perkara itu juga terpakai kepada bukan Melayu.

"Walau dimanapun, politik identiti adalah kelaziman yang tidak boleh di kesampingkan. Identiti itu membawa kedekatan yang sukar di gambarkan. Ia mengikat dengan caranya tersendiri.

"Walaupun pengundi sangat mementingkan isu-isu seperti sara hidup, pembasmian rasuah dan pengagihan kekayaan yang saksama, mereka akhirnya akan lebih cenderung mengundi berdasarkan identiti kaum," katanya.

Sementara itu katanya, isu-isu berkepentingan Melayu telah dan akan terus menjadi dominasi penting dalam politik Melayu.

Ujarnya, kepimpinan berdasarkan prestasi yang baik, dasar unggul dan khidmat yang cemerlang adalah ‘perhitungan kedua’ dalam minda pengundi Melayu.

"Apa sahaja yang berkaitan Melayu itu akan terus menjadi domain terpenting dan utama.

Jika kita tidak mengurus domain ini dengan baik, kita akan dilihat mengabaikan kepentingan Melayu dan Islam.

"Lihat sahaja bagaimana, UMNO cuba menjelaskan kerjasamanya dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

"Tiada hujah yang boleh meyakinkan majoriti konstituen Melayu atau melunakkan pendirian mereka, untuk menerima kerjasama UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan," katanya.

Beliau berkata, sebabnya ialah telah tertanam dalam pemikiran orang Melayu bahawa, DAP itu tidak pernah bersetuju, dengan dasar-dasar diskriminasi positif untuk pribumi atau telah ada stigma bahawa, DAP itu anti Islam.

Katanya, Kerajaan Perpaduan itu bukanlah tidak berprestasi, banyak dasar dan program yang baik untuk mengembangkan dan menumbuhkan ekonomi negara telah berjaya dilaksanakan.

"Walaupun semasa negara kita berhadapan dengan kerumitan ekonomi dampak krisis geopolitik global.

"Begitu juga dengan pelbagai pengagihan bantuan, komitmen memerangi rasuah dan ketirisan serta usaha melaksanakan pembaharuan di pelbagai dimensi dalam pelbagai sektor.

"Semuanya UMNO sokong sebagai tanggungjawab kolektif dalam kerajaan.

Namun semua ini tidak dilihat sebagai lebih Melayu, selagi UMNO dilihat bersama dengan DAP, semuanya akan menjadikan Kerajaan Perpaduan itu tidak mewakili Melayu dan kepentingannya," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved