Pengundi Nilai Prestasi, PH Raih Momentum Menjelang Hari Pengundian - Aminuddin

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 9:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pengundi Nilai Prestasi, PH Raih Momentum Menjelang Hari Pengundian - Aminuddin

PORT DICKSON - Sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) semakin kukuh menjelang penghujung kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sekali gus mencerminkan keyakinan pengundi terhadap rekod pentadbiran dan prestasi gabungan itu. 

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sambutan yang diterima sepanjang kempen serta maklum balas daripada pengundi amat memberangsangkan, sekali gus meningkatkan keyakinan PH menjelang hari pengundian.

Menurut beliau, sambutan yang diterima sangat baik dan menunjukkan bahawa suasana pada penghujung kempen ini semakin positif.

“Walaupun masyarakat di kawasan ini sudah selesa dan mengenali saya, saya tetap menghormati proses demokrasi.

“Keputusan muktamad tetap berada di tangan rakyat apabila mereka keluar mengundi,” katanya ketika ditemui di Port Dickson, hari ini.

Aminuddin berkata, penerimaan baik terhadap manifesto PH didorong pendekatan kempen yang memberi tumpuan kepada rekod pentadbiran sepanjang lapan tahun lalu, berbanding menyerang atau memperibadikan isu terhadap lawan politik.

Katanya, pengundi lebih menghargai kempen yang berasaskan fakta, pencapaian serta perancangan masa depan, berbanding politik konfrontasi.

“Pendekatan kempen kami berbeza kerana kami menjelaskan apa yang telah dicapai sepanjang lapan tahun mentadbir.

“Pada awalnya saya agak bimbang kerana kami tidak memilih untuk menyerang atau membalas hujah pihak lawan.

“Namun saya melihat rakyat sebenarnya sudah penat dengan politik kebencian, sentimen perkauman dan penyebaran fitnah.

“Hari ini, pengundi lebih cenderung membuat penilaian secara rasional berdasarkan fakta,” katanya.

Beliau berkata, PH turut memberi penekanan kepada usaha mendidik rakyat mengenai hak demokrasi mereka, sambil menegaskan bahawa kuasa untuk menilai kepimpinan serta menentukan masa depan negeri terletak sepenuhnya di tangan pengundi menerusi peti undi.

Mengulas keputusan PH menamakan beliau sebagai calon Menteri Besar sebelum pilihan raya berlangsung, Aminuddin menyifatkan kepercayaan yang diberikan itu sebagai satu amanah besar dan bukannya penghargaan peribadi.

“Saya berterima kasih atas kepercayaan itu. Hakikatnya, setiap kali menerima pujian, saya berasa lebih bimbang kerana ia membawa amanah yang besar.

“Harapan rakyat sangat tinggi dan sebagai seorang pemimpin, tanggungjawab ini bukan mudah kerana banyak cabaran dan ujian yang perlu dihadapi.

“Kadangkala pujian yang berlebihan juga membuatkan saya lebih berhati-hati dan sentiasa mengingatkan diri untuk terus merendah diri,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, keputusan PH mengumumkan calon Menteri Besarnya lebih awal berbanding gabungan lain membuktikan kematangan politik serta keyakinan gabungan itu dalam menawarkan kepimpinan yang stabil dan memberikan kepastian kepada rakyat menjelang PRN Negeri Sembilan. - Getaran, 30 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved