Pengunjung Antarabangsa Sanggup Beratur Panjang Beli Roti Canai Terbang RM50

LocalFood
3 Jun 2025 • 5:31 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Malaysia sememangnya salah sebuah negara yang terkenal dengan budaya serta tradisi makanannya.

Malah jika pelancong luar negara datang ke negara ini, antara perkara yang sering kita dengari adalah mereka sangat mencintai makanannya seperti nasi lemak dan roti canai.

Bukan hanya itu ada juga yang sanggup melancong jauh kerana rindukan makanan di negara ini dan ada pula yang sanggup mencari makanan Malaysia di tempat masing-masing.

Roti canai terbang jadi tarikan di Expo 2025 Osaka

Terbaharu, siapa sangka ‘roti canai terbang’ yang ada di Expo 2025 Osaka kini menjadi tumpuan para pengunjung antarabangsa ke Pavilion Malaysia.

Aksi penyediaannya yang memukau serta aroma mentega yang memikat selera sudah pasti menjadi salah satu daya tarikannya.

Memetik laporan Harian Metro, ada pengunjung di ekspo terbabit yang sanggup beratur sehingga dua jam hanya untuk merasai roti canai terbang itu.

Penebar roti canai tak sanga terpilih sebagai sebahagian delegasi Malaysia ke Osaka

Penebar roti canai, Muhammad Muiz Ruzaini berkata, dia tidak menyangka akan terpilih sebagai sebahagian daripada delegasi Malaysia ke Expo 2025 Osaka bagi memperkenalkan keenakan masakan Malaysia di pentas dunia.

“Apa yang menjadikan pengalaman ini lebih bermakna ialah sambutan hangat daripada pengunjung.

“Ramai yang memuji keenakan roti canai ini dan memberikan maklum balas yang sangat memuaskan, baik dari segi rasa mahupun persembahan kami.”

“Selepas mereka makan, ramai yang datang semula dan berkata ‘oishī’ (atau enak). Malah, ada yang ulang sampai tujuh kali,” katanya.

Menurut penebar roti canai dari Kedah itu, kebanyakan pengunjung yang beratur adalah dari Jepun, Korea Selatan dan China.

Satu set roti canai dijual hampir RM50, minimun 1,000 set terjual dalam sehari

Difahamkan, roti canai terbang yang dihidangkan bersama kari ayam dan dhal itu dijual pada harga 1,680 yen (kira-kira RM50) bagi setiap set.

Jualan harian pula mencecah sekitar 1,000 hingga 1,600 keping sekaligus membuktikan jika populariti roti canai semakin meningkat dalam kalangan pengunjung antarabangsa terutamanya dari Jepun, Korea Selatan, China.

Sekadar info, roti canai ialah roti leper yang digoreng atas kuali leper dan amat popular sebagai hidangan sarapan di Malaysia. Ia diperbuat daripada campuran tepung, air, garam, mentega dan telur.

Dohnya diuli dan diuli semula sebelum diregang, dilambung dan diputar di udara, untuk menghasilkan tekstur berlapis yang rangup dan berkerak di luar, tetapi lembut di dalam.

Source: