Pengunjung harap jualan PKPS mega dianjur sempena Tahun Baharu Cina

13 Jan 2025 • 9:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SUBANG JAYA, 13 JAN: Pengunjung Jualan Ehsan Rahmah (JER) berharap program itu dianjurkan secara besar-besaran sempena sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Pengunjung setia, Ng Mee Fong, 68, yang lebih 20 kali berkunjung ke JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) kerana barangan yang ditawarkan murah, segar dan berkualiti.

image is not available
Ng Mee Fong

“Harap Kerajaan Negeri dapat anjurkan JER mega sempena Tahun Baharu Cina seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri sebelum ini sebagai persediaan untuk kami membuat persiapan perayaan nanti.

“Hari ini saya belanja sekitar RM100 beli ayam, daging, telur, minyak dan beras. Harap dapat bertahan sehingga hari raya nanti,” katanya ketika ditemui di JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara di Pasar Pagi TK3/17 di sini, hari ini.

image is not available
Beh Choo Eng

Manakala Beh Choo Eng, 68, pula mengakui kebanyakan barangan yang dibeli hari ini merupakan persiapan untuk menyambut Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

“Beli awal lebih mudah, tidaklah tergesa-gesa nanti. Terima kasih juga kepada pihak penganjur kerana beri kami beli lebih daripada satu bagi setiap barangan yang dijual,” katanya.

Berbeza pula dengan Teoh Kek Fong, 59, yang membeli pelbagai barangan keperluan di JER hari ini kerana mahu memasak kepada orang yang berkunjung di gereja berhampiran kediamannya.

image is not available
Teoh Kek Fong

“Beli banyak sebab nak masak dan derma makanan kepada pengunjung di gereja. Memang kerap buat begini, kebetulan ada JER hari ini jadi saya ambil peluang untuk membeli-belah di sini sebagai tambahan,” katanya.

Selain Kinrara, JER 2025 yang membuka tirainya hari ini turut diadakan di DUN Bandar Baru Klang, Rawang, Bukit Melawati dan Sungai Kandis.

Bermula 10 pagi, pengunjung berpeluang membeli ayam RM12 seekor, daging pejal (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak dua kg (RM10) dan beras lima kg (RM13).

JER yang berakhir 1 tengah hari turut menawarkan produk baharu sardin (RM5.50), bihun (RM2.50), biskut jagung (RM3), sabun cuci baju (RM16.00) dan lampin bayi pakai buang (RM12).

Belanjawan Selangor 2025 memperuntuk RM30 juta bagi pelaksanaan JER, sekali gus membuktikan komitmen pentadbiran negeri membantu meringankan sara hidup rakyat berpendapatan rendah.