
GOMBAK, 15 MEI: Suasana Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani yang dianjurkan bersama Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) di sini malam tadi berlangsung dalam suasana muhibbah.
Pasangan warga emas, N. Ramu, 66, dan isterinya, P. Paneerkodi, 59, berkata mereka hadir ke majlis rumah terbuka itu kerana mahu merasai semangat perpaduan antara kaum.
Ramu berkata aneka makanan melambangkan identiti kaum turut dihidangkan kepada pengunjung sekali gus mewarnai kemeriahan majlis.

“Kami suka datang ke majlis rumah terbuka seperti ini kerana suka suasana yang muhibbah. Tambahan pula ada banyak juadah istimewa.
“Saya harap Kerajaan Negeri akan terus mentadbir Selangor kerana sebagai warga emas, kami menerima banyak manfaat dan bantuan,” katanya.
Sementara itu, pasangan suami isteri Mohamad Yusof Mansor, 30, dan Nur Yushaireen Yusman, 26, berkata majlis rumah terbuka di Gombak amat meriah.
Menurut Yusof, mereka turut menghadiri beberapa JKSA sebelum ini, namun tidak dapat menandingi kemeriahan program di Gombak.

“Di sini sangat besar dan lebih menarik terutamanya dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Makanan di sini juga sedap dan ada aneka pilihan,” katanya.
Mereka adalah antara lebih 35,000 pengunjung yang membanjiri Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani bersama JKSA siri terakhir di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Sri Gombak di sini.
Sebanyak 29 gerai disediakan dengan lebih 42 juadah antaranya lemang daun lerek, ketupat, rendang, sate, kambing golek, aneka jenis kuih muih, buah-buahan dan pelbagai jenis air balang.
Pengunjung juga turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal Dato’ M Nasir, Dayang Nurfaizah dan Pija Mentor.

The post Pengunjung teruja rumah terbuka di Gombak berlangsung penuh muhibah appeared first on Selangorkini.

