
GOMBAK, 15 MEI: Lokasi terakhir penganjuran Jelajah Kita Selangor Aidilfitri (JKSA) yang berlangsung di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Seri Gombak mengundang nostalgia kepada Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lokasi sama menjadi pentas ‘Grand Finale’ dalam kempen pilihan raya umum ke-12 (PRU-12) sebelum perubahan pentadbiran di Selangor pada 2008.

“Lokasi ini mengingatkan nostalgia pada 2008, di tapak inilah Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) membuat ‘Grand Finale’ yang telah mencetuskan perubahan besar di Selangor.
“Insya-Allah dengan izin Allah dan tekad, kita bersama akan kekalkan dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang,” katanya ketika berucap pada program rumah terbuka JKSA daerah Gombak di lokasi berkenaan malam tadi.

Dihadiri lebih 35,000 pengunjung, acara yang dianjurkan bersekali dengan Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani diserikan lagi dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebanyak 29 gerai disediakan dengan lebih 42 juadah antaranya lemang daun lerek, ketupat, rendang, sate, kambing golek, aneka jenis kuih muih, buah-buahan dan pelbagai jenis air balang.
Pengunjung juga turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal Dato’ M Nasir, Dayang Nurfaizah dan Pija Mentor.

Sebelum ini, pada PRU 2008 gabungan Pakatan Rakyat telah membentuk kerajaan di Selangor apabila berjaya mendapatkan 36 kerusi berbanding Barisan Nasional yang hanya memperoleh 20 kerusi.
The post Taman Seri Gombak undang nostalgia perubahan pentadbiran Selangor 2008 appeared first on Selangorkini.
