Pengurangan caj akses grid tenaga hijau lonjak daya tarikan RE, kata CGSI

03/09/2025 - 12:47
Gambar hiasan/Unsplash.com Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 3 Sept – Langkah kerajaan mengurangkan caj capaian sistem (SAC) bagi pengguna yang disambungkan melalui Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) dijangka menjadi pemangkin utama kepada lonjakan kadar penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia, kata CGS International Research.
Firma penyelidikan itu berkata, dengan pengurangan caj itu, kos tenaga hijau kini jauh lebih kompetitif berbanding elektrik konvensional yang akan menjadikannya pilihan menarik terutamanya bagi syarikat besar seperti pusat data yang menggunakan tenaga dalam jumlah tinggi.
“Pengurangan SAC itu telah mengecilkan jurang kos antara tenaga konvensional dan tenaga hijau.
“Malah dalam beberapa keadaan, RE kini muncul sebagai pilihan yang lebih ekonomik berbanding tenaga berasaskan bahan api fosil.
“Berdasarkan SAC yang disemak semula dan kos penyimpanan semasa, kami menganggarkan tarif elektrik hijau di bawah CRESS berada pada paras 50 sen hingga 55 sen setiap kilowatt jam (kWh) menjadikannya jauh lebih kompetitif dan mampu menarik pengguna korporat,” kata firma itu dalam nota penyelidikannya.
Tambah CSGI, struktur tarif baharu ini amat signifikan kepada pengguna komersial khususnya pusat data.
“Bagi pusat data berskala besar, tenaga hijau kini berpotensi lebih murah berbanding tenaga konvensional.
“Situasi ini akan mendorong syarikat teknologi antarabangsa menilai semula strategi tenaga mereka di Malaysia,” jelasnya.
Pada masa ini, pusat data besar dilaporkan membayar sekitar 60 sen/kWh bagi tenaga konvensional (berdasarkan pelarasan bahan api automatik sifar) dan kira-kira 63 sen/kWh bagi tenaga hijau di bawah skim Green Energy Tariff (GET).
Perbezaan tipis sebelum ini menjadi penghalang, namun kini SAC lebih rendah membuka ruang kepada kelebihan kos.
CGS International turut menjelaskan bahawa penurunan caj itu akan memberi limpahan positif kepada pasaran tersenarai yang lebih luas, termasuk syarikat-syarikat tenaga boleh diperbaharui dan pemain kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pemasangan (EPCC).
“Pemain solar EPCC dan syarikat pembinaan dijangka menikmati manfaat secara langsung apabila harga elektrik hijau lebih rendah mendorong percepatan pembangunan ladang solar.
“Ini seterusnya akan meningkatkan aliran projek baharu dalam sektor tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Selain itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) juga bakal menjadi penerima manfaat apabila peralihan tenaga dipercepatkan. Firma itu berpendapat, permintaan tenaga hijau yang meningkat mengukuhkan kes perniagaan untuk TNB mempercepat pelaburan berkaitan grid elektrik.
“Peningkatan kapasiti tenaga boleh diperbaharui memerlukan integrasi bekalan berselang (intermittent supply) ke dalam grid.
“Justeru, peruntukan perbelanjaan modal kontijen (contingent capex) berjumlah RM16.6 bilion di bawah RP4 akan menjadi asas penting dalam memastikan kestabilan grid negara,” jelas CGS International.
Langkah kerajaan ini turut dilihat seiring dengan aspirasi negara mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 70 peratus menjelang 2050.
Pengurangan SAC bukan sahaja meningkatkan daya saing tenaga hijau, tetapi juga menggalakkan lebih banyak syarikat beralih kepada sumber yang lestari.
Penganalisis industri berpendapat, dasar baharu ini bakal memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab tenaga boleh diperbaharui serantau.
“Selain memacu pertumbuhan ekonomi hijau, ia turut memberi isyarat jelas kepada pelabur asing bahawa Malaysia komited untuk menyediakan ekosistem tenaga yang mampan dan kompetitif,” kata seorang penganalisis.
Secara keseluruhan, pengurangan caj capaian sistem ini dilihat bukan sahaja memberi impak positif kepada kos operasi pengguna korporat, malah membuka lembaran baharu kepada pembangunan tenaga bersih di Malaysia yang lebih inklusif dan mapan. - DagangNews.com
standard


