Pengurangan pengeluaran minyak Arab Saudi cetus optimisme pasaran

Business & Finance
6 Jun 2023 • 9:23 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengurangan pengeluaran minyak Arab Saudi cetus optimisme pasaran

diyana

06/06/2023 - 09:23

KUALA LUMPUR 6 Jun - Pengumuman Arab Saudi untuk mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 1 juta tong sehari bermula Julai telah menyebabkan lonjakan harga minyak, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Langkah tersebut adalah susulan keputusan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya untuk mengehadkan bekalan sehingga 2024.

Menurut firma penyelidikan itu, defisit pasaran dijangka meningkat kepada lebih 3 juta tong sehari pada bulan Julai, yang berpotensi memacu harga lebih tinggi.

“Bagaimanapun, kesan pengurangan itu akan terhad memandangkan Rusia, Nigeria dan Angola telah melaraskan sasaran mereka agar sepadan dengan tahap pengeluaran sebenar mereka,” katanya dalam nota.

Sementara itu, KLCI dijangka bersaing dengan rakan serantau tetapi dagangan akan kekal tidak menentu disebabkan prestasi semalaman yang lemah di Wall Street.

Firma itu berkata, minat ke atas saham minyak dan gas (O&G) akan kekal tinggi berikutan harga minyak yang lebih kukuh tetapi pemerhatian akan bertumpu pada data perdagangan di Amerika Syarikat dan China pada akhir minggu ini.

“Dari segi teknikal, kami menjangkakan indeks penanda aras berjulat antara 1,370 mata dan 1,410 mata hari ini, dengan sokongan pada 1,380 mata dan 1,350 mata,” tambahnya. -DagangNews.com