Pengurus Analisis Rugi RM300,000 Terpedaya Love Scam Warga Amerika Syarikat

Entertainment
28 Jun 2025 • 2:22 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang wanita berusia 45 tahun kerugian RM300,000 selepas terperangkap dalam penipuan cinta atau love scam oleh seorang lelaki yang dikenalinya melalui media sosial sejak November tahun lalu.

image is not available

Memetik laporan Astro Awani, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa yang bekerja sebagai pengurus analisis di sebuah kilang di Bayan Baru berkenalan dengan suspek yang mengaku warga Amerika Syarikat menerusi aplikasi Facebook.

“Mereka kemudian berhubung secara lebih peribadi di WhatsApp, di mana suspek menyatakan hasrat untuk menjalinkan hubungan serius”

Suspek memperkenalkan dirinya sebagai ahli perniagaan dalam bidang teknologi maklumat (IT) yang kononnya sedang menguruskan perniagaan di sebuah negara luar.

Selepas sebulan berkenalan, suspek mendakwa akaun banknya telah disekat dan memerlukan bantuan kewangan segera untuk menyelesaikan urusan penghantaran stok penting.

“Suspek berjanji akan membayar semula wang tersebut, malah menawarkan bayaran tambahan sebagai penghargaan”

Terpedaya dengan janji manis, mangsa telah melakukan 16 transaksi berjumlah RM300,000 ke lima akaun bank berbeza dalam tempoh tiga hari antara 12 hingga 14 Disember 2024.

Namun, mangsa mula curiga apabila suspek terus meminta wang tambahan dan menghantar gambar pasport yang kelihatan diubah suai, kononnya sebagai persediaan untuk datang ke Malaysia.

Menyedari ditipu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya semalam. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.