
Teka-teki mengenai keadaan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terjawab apabila pengurusnya, Rozi Abdul Razak mengesahkan bahawa mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Khamis.
Rozi menerusi perkongsian di Instagram Story miliknya berkata Siti kini berada dalam keadaan selamat. Namun, penyanyi nombor satu negara itu mengalami bengkak dan lebam di bahagian kaki, serta telah dibawa ke hospital.
Alhamdulilah, segalanya selamat
"Salam semua. Ramai yang menghubungi kami bertanyakan tentang Siti Nurhaliza.
"Kami dua kereta baru selesai mengadakan persembahan di RedQ AirAsia Sepang dan sewaktu melalui lebuhraya MEX (KM14.2), berlaku kemalangan," katanya.
Menurutnya lagi, empat kereta terlibat termasuk kereta yang dinaiki Siti serta Siti Fairuz yang berada berjarak beberapa kereta di belakang keretanya.
"Kami membawa Siti keluar dari kereta yang kemalangan dan masuk ke dalam kereta kami.
"Alhamdulillah, segalanya selamat dan terima kasih di atas doa semua," kata Rozi

Terdahulu, tular satu perkongsian seorang pengguna Thread yang bertanyakan keadaan Siti selepas dimaklumkan oleh rakannya yang melihat kemalangan itu.

Seorang lagi pengguna memuat naik gambar yang memaparkan Siti selepas kemalangan terbabit, sambil memanjatkan doa untuk penyanyi itu.






